Topik diikuti
Pergi ke BHkuLarangan pegang telefon semasa pandu: Usaha didik pekerja platform akan dipertingkat
Tiga persatuan pekerja turut bincang dengan syarikat platform teroka pertingkat desain aplikasi
Tiga persatuan pekerja yang mewakili pemandu kereta sewa privet, pekerja penghantaran dan pemandu teksi berkata mereka sedang mempertingkat usaha mendidik pekerja platform mengenai undang-undang jalan raya yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA), berkata ia juga sedang mendekati syarikat yang memiliki platform tersebut agar mempertingkat desain aplikasi yang digunakan pekerja platform.
Ini termasuk mempermudahkan cara pengguna berinteraksi dengan aplikasi, termasuk dalam pengurusan makluman atau notifikasi yang diterima supaya pemandu atau penunggang tidak perlu kerap menyentuh skrin telefon semasa di jalan raya.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan perhatian dan usaha berterusan oleh semua pengguna jalan raya.
“NDCA, NPHVA dan NTA akan terus bekerja rapat dengan syarikat platform dan pihak berkuasa untuk memperkukuh keselamatan jalan raya sambil menyokong inisiatif yang melindungi keselamatan dan mata pencarian pemandu dan penunggang kami,” kata tiga persatuan itu yang bernaung di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Pada 4 Ogos, Parlimen meluluskan undang-undang jalan raya baru, termasuk undang-undang lebih ketat yang menjadikan ia satu kesalahan bagi pemandu atau penunggang motosikal memegang telefon bimbit semasa memandu, walaupun jika alat itu tidak digunakan.
Undang-undang baru itu, namun tidak menjejas penggunaan telefon yang dipasang pada alat pemegang.
Pemandu tetap boleh memegang telefon mereka apabila kenderaan tidak bergerak.
Undang-undang baru itu membuka laluan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kesalahan lalu lintas, sedang jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencecah paras tertinggi dalam tempoh sedekad, iaitu sebanyak 149 kes pada 2025 berbanding 141 kes pada 2016.
Antara lain, ia memperkemas undang-undang sebelumnya yang menuntut keperluan membuktikan seseorang pemandu sedang menggunakan telefon semasa memandu.
Undang-undang terkini menetapkan bukti sedemikian tidak lagi diperlukan, dan seseorang pemandu boleh didapati bersalah jika memegang telefon bimbit atau alat komunikasi bimbit lain semasa kenderaan bergerak.
Semasa Rang Undang-Undang (Pindaan Pelbagai) Lalu Lintas Jalan Raya diperkenalkan di Parlimen pada Julai, ia mencetus perbincangan rancak dalam kalangan warganet dan dalam kalangan pekerja platform yang prihatin periuk nasi mereka terjejas.
Anggota Parlimen (AP) pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, akur dan memberitahu BH pekerja platform telah menyuarakan keprihatinan yang munasabah dan persatuan pekerja akan cuba meleraikan sebarang keprihatinan yang diutarakan.
NPHVA, NDCA dan NTA berkata keselamatan di jalan raya dan mata pencarian pemandu dan penunggang motosikal mesti berjalan seiring.
Setiap pengguna jalan raya berhak pulang ke rumah dengan selamat, dan ini terutamanya penting bagi pekerja penghantaran yang menunggang motosikal, pemandu kereta sewa privet dan pemandu teksi yang meluangkan masa yang lama di jalan raya, kata jurucakap tiga persatuan itu.
Oleh sebab aplikasi telefon bimbit merupakan alat kerja yang penting bagi ramai pemandu dan penunggang, syarikat platform turut berperanan penting dalam memastikan keselamatan di jalan raya dan mata pencarian pemandu dan penunggang terjaga.
Pada masa yang sama, NDCA, NPHVA dan NTA akan mempertingkat usaha mendidik pemandu dan penunggang mengenai undang-undang baru dan memperkukuh tabiat penggunaan jalan raya yang selamat melalui saluran komunikasi dan sesi pendekatan mereka.
