JOHOR BAHRU: Bandar raya Johor Bahru meriah dibanjiri lebih 400,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat sempena Pesta Perarakan Chingay Johor Bahru 2025.
Pesta Chingay yang sudah wujud lebih 150 tahun itu mendapat sambutan penduduk dan pelancong dari dalam serta luar negara.
Pesta warisan dan perarakan itu dirasmikan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, dengan memalu gendang di pentas utama dekat Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, pada malam 18 Februari.
Perarakan Chingay Johor Bahru kali ini menyaksikan lebih 85 kenderaan berhias dengan penyertaan 21 pasukan tarian singa dan naga daerah Johor Bahru yang berarak sejauh kira-kira 7.8 kilometer bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek.
Perarakan kemudian melalui Jalan Yahya Awal, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Abdul Razak sebelum kembali semula ke Kuil Xing Gong.
Pengerusi Persekutuan Cina Johor Bahru, Encik Ho Sow Tong, berkata penganjuran acara itu melambangkan keindahan warisan budaya, selain memaparkan keharmonian kaum dan pemahaman agama.
“Ia dianjurkan bagi mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama bangsa, persefahaman yang lebih mesra dalam kalangan etnik, selaras dengan falsafah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini menjadi saksi hubungan erat dan perpaduan Bangsa Johor,” katanya ketika berucap pada malam kemuncak Pesta Perarakan Chingay Johor Bahru 2025 itu, pada 18 Februari, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Ho berkata Pesta Chingay itu diisytiharkan sebagai Warisan Budaya Kebangsaan pada 2012 dan dikenali sebagai antara tarikan pelancong di Johor.
“Kini usaha untuk Pesta Chingay ini diangkat sebagai Warisan Budaya Dunia untuk mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sedang giat diusahakan supaya ia dikenali di mata dunia,” katanya.
Pesta perarakan itu membawa maksud yang signifikan kepada masyarakat Cina kerana menggambarkan semangat permuafakatan antara kelima-lima suku iaitu Teochew, Hokkien, Hakka, Guangsiew dan Hainan.
Pada November 2024 lalu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Encik Edwin Tong, dilaporkan berkata Singapura dan Malaysia akan mencalonkan perarakan Chingay sebagai elemen bagi Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) bagi Kemanusiaan dalam Senarai Perwakilan Unesco pada akhir Mac 2025.
Katanya, pencalonan perarakan Pesta Chingay menandakan hubungan dua hala sepanjang 60 tahun antara Singapura dengan Malaysia, dan akan menjadi sebahagian daripada sambutan kemerdekaan Singapura ke-60 atau SG60.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg