Dua penggiat fesyen tradisional setempat melahirkan rasa gembira, bangga dan bersyukur apabila kebaya, pakaian tradisional wanita yang popular di Asia Tenggara, dimasukkan secara rasmi ke dalam senarai warisan budaya tidak ketara dunia.
Pengiktirafan pakaian tradisional wanita Melayu itu dibuat menyusuli pencalonan bersama oleh Singapura, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Keputusan itu diumumkan lewat malam 4 Disember dalam mesyuarat jawatankuasa antarabangsa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) terdiri daripada 24 anggota, yang diadakan di Asuncion, Paraguay.
Menyambut baik pengiktirafan itu, pengasas kebaya.societe, Encik Sufiyanto Amat Sopingi, berkata beliau gembira dengan penambahan baru ke dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Unesco.
“Saya sangat gembira mendengar berita tersebut kerana kebaya merupakan warisan yang masih kekal di Asia Tenggara.
“Dengan penyenaraian Unesco, ia lebih diiktiraf pada skala global sebagai pakaian yang sinonim dengan rantau kita,” jelas Encik Sufiyanto, seorang penjahit dan mempunyai minat mendalam dalam seni penjahitan kebaya.
Pemilik Kebaya by Ratianah, Cik Ratianah Tahir, turut berasa bangga dan amat bersyukur dengan pengiktirafan kebaya, dan menyifatkan langkah Unesco itu sebagai “pengiktirafan yang menaikkan taraf kebaya, pakaian Nusantara kita, ke mata dunia”.
Beliau turut mencadangkan supaya diadakan hari khas untuk meraikan kebaya, Hari Kebaya, agar ia ‘melekat’ di hati orang ramai.
Mesyuarat jawatankuasa Unesco itu turut meluluskan penambahan baru ke dalam ICH.
Warisan budaya tidak ketara merujuk kepada tradisi atau cara kehidupan yang diwarisi dan disampaikan kepada generasi seterusnya, seperti seni persembahan, amalan sosial, ritual dan acara perayaan.
Penyertaan kebaya dalam senarai itu menandakan kali kedua amalan warisan budaya tidak ketara yang dicadangkan oleh Singapura dimasukkan ke dalam senarai Unesco.
Pada 2020, budaya penjaja telah dimasukkan ke dalam senarai itu selepas pencalonan oleh Singapura, lapor The Straits Times.
Kebaya yang secara tradisi diperbuat daripada pelbagai jenis kain dan sering dihiasi dengan sulaman rumit, menjadi fesyen popular pada permulaan abad ke-20.
Semasa Lembaga Warisan Negara (NHB) mengumumkan keputusannya untuk terlibat dalam pencalonan bersama pada November 2022, ia berkata bahawa “kebaya mewakili dan meraikan sejarah bersama yang kaya di rantau ini, mempromosikan pemahaman antara budaya dan terus dipakai oleh wanita di seluruh Asia Tenggara”.
Sebagai contoh, kebaya dipakai oleh pramugari syarikat penerbangan nasional negara di rantau Asia Tenggara, seperti Singapore Airlines, Malaysia Airlines dan Garuda Indonesia.
Pencalonan bersama – yang diusulkan oleh Malaysia bertajuk, Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices (Kebaya: Ilmu, Kemahiran, Tradisi dan Amalan) – telah dihantar kepada Unesco pada Mac 2023 dan disokong oleh kumpulan dan individu di Singapura seperti organisasi budaya Peranakan, Gunong Sayang, dan pereka kebaya, Encik Raymond Wong.
Sebelum pengumuman pendaftaran berjaya pada 4 Disember, sebuah badan penilaian yang terdiri daripada 12 ahli – yang menilai pencalonan dan memberi cadangan kepada jawatankuasa antarabangsa 24 ahli – berkata pelbagai masyarakat dan pihak berkepentingan telah terlibat secara aktif dalam pencalonan bersama itu dan memuji negara-negara tersebut atas penyediaan fail yang baik.
Dalam satu hantaran di Facebook selepas keputusan Unesco, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata pendaftaran itu adalah detik yang membanggakan bagi Singapura dan Asia Tenggara.
Menyedari bahawa pendaftaran ini adalah yang terbesar setakat ini oleh negara-negara Asia Tenggara berdasarkan jumlah negara yang terlibat, Encik Tong berkata kebaya mencerminkan gabungan budaya unik di rantau ini dan “merupakan perwakilan yang indah bagi masyarakat berbilang kaum kita”.
Dalam satu kenyataan akhbar pada 4 Disember, NHB berkata, negara-negara yang mencalonkan dipuji atas tahap penglibatan di kededua peringkat kebangsaan dan serantau semasa proses pencalonan.
Sebagai contoh, pameran bergerak Love, Kebaya anjuran NHB yang dilancarkan pada April 2023 telah menarik lebih 400,000 pengunjung di 10 lokasi setakat ini.
Melangkah ke hadapan, pakaian kebaya akan dipamerkan semasa Pesta Warisan Singapura (SHF) tahunan pada Mei 2025, kata lembaga tersebut.
Senarai Perwakilan ICH Unesco terdiri daripada amalan yang membantu menunjukkan kepelbagaian bentuk warisan itu, serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingannya.
Setakat 3 Disember, 628 unsur telah dimasukkan ke dalam senarai tersebut.
Pendaftaran terkini termasuk sup udang tomyam ‘kung’ dari Thailand.
NHB berkata pada 2022 bahawa pendaftaran membantu meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap amalan warisan, sambil menambah bahawa kejayaan dalam memasukkan unsur ke dalam senarai tidak bermakna elemen tersebut hanya milik, berasal dari, atau hanya terdapat di negara yang mengemukakan pencalonan.
Bersama Malaysia, Singapura merancang mengemukakan pencalonan bersama bagi perarakan Chingay pada Mac 2025, dengan keputusan paling awal dijangka pada akhir 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg