Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

50 selebriti ‘kaya’ M’sia berstatus muflis

Jan 27, 2025 | 11:21 AM
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk M Bakri Abd Majid.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk M Bakri Abd Majid. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPURKira-kira 50 selebriti Malaysia termasuk penyanyi terkenal bergelar Datuk berada dalam senarai ‘artis kaya’ masih kekal berstatus bankrap atau muflis.

Perkara itu didedahkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) yang menjelaskan ada di antara artis terbabit memaparkan kehidupan mewah di media sosial, tetapi gagal melakukan pembayaran bulanan ditetapkan berdasarkan kemampuan walaupun jumlah dikenakan adalah kecil.

Ketua Pengarah MDI, Datuk M Bakri Abd Majid, berkata sikap artis yang enggan menemui pegawai MDI bagi membincangkan kes muflis walaupun notis sudah lama dikeluarkan atau gagal membuat sumbangan bulanan ditetapkan pihaknya, menyebabkan MDI sukar membantu melepaskan mereka daripada status muflis mengikut peruntukan udang-undang.

“Ada antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status muflis, contohnya kes sudah melebihi lima tahun, tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama baik atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, jadi mereka kekal muflis sehingga kini.

“Memang jumlah selebriti yang muflis di Malaysia tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat dan sewajarnya menunjukkan contoh baik kepada masyarakat,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Difahamkan, antara artis berstatus muflis itu adalah dua penyanyi rok terkenal Malaysia yang masih aktif dalam bidang seni dan beberapa pelakon popular.

Selain artis terbabit, ahli perniagaan, tokoh korporat dan ahli politik juga turut tersenarai sebagai individu muflis yang masih belum dilepaskan sehingga kini atas pelbagai faktor termasuk gagal memberi kerjasama sewajarnya kepada MDI bagi pengurusan kes.

Datuk Bakri berkata semua pihak termasuk artis perlu mengetahui status muflis bukan penamat kehidupan, sebaliknya jika mematuhi arahan, pengurusan kes muflis menjadi mudah, sekali gus boleh dibebaskan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun.

“Antara kriteria dilihat jika individu yang mahu dilepaskan daripada muflis ialah menjadi ‘individu muflis yang baik’ iaitu membayar sumbangan bulanan ditetapkan tanpa lengah dan menghantar laporan pendapatan serta perbelanjaan setiap enam bulan kepada MDI,” katanya.

Mengulas kerjaya artis yang tidak terjejas dan masih menerima pendapatan lumayan walaupun berstatus muflis tetapi gagal dikesan MDI, Datuk Bakri berkata wang diperoleh hasil kerja seni itu dipercayai dimasukkan ke akaun pihak lain.

Katanya, antara punca artis diisytihar muflis disebabkan kegagalan perniagaan, pembelian hartanah mewah termasuk kenderaan dan menjadi penjamin kepada orang lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg