Topik diikuti
Pergi ke BHku51 NGO M’sia tuntut tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, siasat isu mafia korporat kait SPRM
51 NGO M’sia tuntut tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, siasat isu mafia korporat kait SPRM
Turut gesa kerajaan had kuasa Perdana Menteri dalam proses pemecatan Ketua Pesuruhjaya SPRM
51 NGO M’sia tuntut tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja, siasat isu mafia korporat kait SPRM
KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis mewakili 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berarak ke Parlimen Malaysia, bagi menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mantan Ketuanya, Tan Sri Azam Baki.
Kumpulan dinamakan Sekretariat #RCINOW, yang dahulunya dikenali sebagai sekretariat #TangkapAzamBaki, berarak kira-kira 1.5 kilometer dari Taman Tugu ke Bangunan Parlimen di tengah Kuala Lumpur pada 30 Jun, untuk menyerahkan memorandum gesaan itu.
Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Encik Asraf Sharafi, berkata rakyat mempunyai tanggungjawab untuk terus menentang rasuah dan memastikan institusi negara dipertanggungjawabkan.
“Kita pada hari ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk mengingatkan mereka yang berada di atas sana (pemimpin) bahawa kita akan melawan rasuah demi negara,” katanya ketika berucap di hadapan pintu masuk Parlimen.
Bersih adalah antara 51 NGO yang mendukung Sekretariat #RCINOW.
Perarakan berlangsung dengan iringan paluan gendang dan sorakan peserta sebelum memorandum diserahkan kepada beberapa Anggota Parlimen (AP) pelbagai parti seperti Parti Keadilan Rakyat, Parti Wawasan Negara dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).
Sebelum ini, beberapa pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), termasuk Pengerusinya yang juga Menteri Digital Malaysia, Encik Gobind Singh Deo, menggesa supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’, tuduhan yang dinafikan keras oleh SPRM dan disifatkan cuba menjejaskan kredibiliti mereka.
Dakwaan komplot ‘mafia korporat’ dibuat oleh media antarabangsa, Bloomberg pada Februari lalu.
Dakwaan memetik sumber itu mendakwa terdapat komplot antara sekumpulan ahli perniagaan dan pegawai kanan SPRM untuk mengambil alih syarikat dengan pembelian saham dengan harga murah.
Tan Sri Azam sebelum ini bagaimanapun dilaporkan berkata dakwaan itu bersandarkan maklumat yang tidak sahih dan cuba mencemarkan kredibiliti badan anti-rasuah itu.
Dalam memorandumnya, sekretariat RCINOW mencadangkan supaya RCI itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bersama beberapa mantan anggota badan kehakiman yang disegani dan wakil ahli akademik serta masyarakat sivil.
Selain itu, Sekretariat #RCINOW juga menggesa kerajaan mengehadkan kuasa Perdana Menteri dalam proses pemecatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan memperkukuh pengawasan terhadap suruhanjaya itu melalui peranan Parlimen serta ombudsman.
“Saya percaya, jika (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim masih di bangku pembangkang, beliau akan bersama dengan kita pada hari ini,” kata Encik Wong Kukui, penyelaras NGO Mandiri, lapor Malaysiakini.
Beliau berkata ramai masih ingat kata-kata Datuk Anwar yang ingin melawan dan menangkap ‘jerung-jerung besar’, yang mendalangi kegiatan rasuah di Malaysia.
“Inilah sebab kita menuntut RCI, untuk tangkap jerung-jerung besar yang berleluasa yang mencemarkan integriti negara kita,” ucapnya.
Sementara itu, AP PKR, Encik Wong Chen, seorang daripada AP yang menerima memorandum itu turut meminta kerajaan mendedahkan kepada orang ramai laporan siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam yang didakwa bernilai RM14 juta.
