Topik diikuti
Pergi ke BHku6 empangan Johor pada paras kritikal, 13 loji rawatan air berisiko terjejas
6 empangan Johor pada paras kritikal, 13 loji rawatan air berisiko terjejas
JOHOR BAHRU: Johor memantau enam empangan yang paras airnya berada pada tahap kritikal dan mengenal pasti 13 daripada 47 loji rawatan air di negeri itu yang berisiko terjejas jika hujan berkurangan antara pertengahan Januari dengan pertengahan Mac 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata lima daerah diberi perhatian kerana mempunyai kawasan tadahan yang membekalkan air kepada penduduk, iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Segamat.
“Enam empangan yang dipantau setiap hari ialah Upper Layang, Lower Layang, Lebam, Machap, Pontian Kechil dan Gunung Pulai 2,” katanya dalam siaran langsung mengenai Fenomena El Nino dan Monsun Timur Laut, menerusi Facebook Encik Fazli, pada 11 November.
Menurut Encik Fazli, hujan lebat akibat Monsun Timur Laut dijangka melanda Johor pada Disember 2026 dan Januari 2027. Risiko kemarau mungkin meningkat apabila hujan monsun reda sedangkan kesan El Nino masih dirasai.
“Kerajaan negeri akan memantau keadaan cuaca setiap minggu. Operasi pembenihan awan boleh dipertimbangkan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), tetapi pelaksanaannya bergantung pada keadaan awan.
“Ini kerana ketika musim tengkujuh, risiko banjir di kawasan rendah juga perlu diambil kira,” katanya.
Encik Fazli berkata Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) dan Ranhill SAJ telah merangka langkah untuk mendapatkan bekalan air mentah tambahan bagi loji yang berisiko.
“Sebagai contoh, jika paras Sungai Ulu Benut menyusut, air dari Empangan Machap boleh dilepaskan ke sungai itu untuk membekalkan Loji Rawatan Air Simpang Renggam.
“Air juga boleh dipam terus dari empangan ke sungai. Kolam persendirian telah dikenal pasti sebagai sumber terakhir sekiranya air empangan tidak lagi mencukupi,” jelasnya.
Sekiranya langkah itu masih tidak mencukupi, Ranhill SAJ boleh membekalkan air secara bergilir mengikut kawasan.
Jika keadaan bertambah buruk, pelan kecemasan turut menyediakan pilihan menempatkan 283 tangki statik di lokasi yang mudah dicapai penduduk, dengan 38 lori tangki untuk mengisi semula bekalannya.
“Kalau kita dapat jimat gunakan air, air yang ada rizab sekarang ini kita dapatlah digunakan lebih lama,” ujar Encik Fazli.
Beliau turut menggalakkan penduduk supaya menadah air hujan untuk kegunaan seperti menyiram tanaman bagi mengurangkan penggunaan air terawat.
Menurut beliau, jika 100,000 isi rumah masing-masing dapat menjimatkan 200 liter air sehari, penggunaan air daripada empangan dapat dikurangkan sebanyak 20 juta liter sehari.