JOHOR BAHRU: Johor memperkukuh persediaan menghadapi risiko kemarau menerusi pemantauan sumber air, pemindahan air mentah serta penyediaan bekalan sokongan, susulan jangkaan cuaca panas dan kering menjadi lebih ketara mulai Februari 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena El Nino dijangka berterusan sehingga awal 2027.

Walaupun taburan hujan dari November 2026 hingga Januari 2027 dijangka normal, persediaan awal diperlukan bagi memastikan sumber dan bekalan air negeri dapat diurus dengan baik.

“Pemantauan dan kerjasama antara agensi akan diteruskan supaya tindakan dapat diambil lebih awal,” katanya dalam kenyataan pada 27 Oktober.

Beliau menerima pembentangan kesiapsiagaan menghadapi El Nino dan risiko kemarau pada 26 Oktober bersama MetMalaysia Johor, Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Ranhill SAJ serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

Encik Fazli berkata Bakaj memberi tumpuan kepada pemantauan paras empangan dan sungai, khususnya sumber yang berada pada paras kritikal.

Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah pemindahan air mentah untuk menyokong empangan yang memerlukan bekalan tambahan.

Cadangan menggunakan sumber alternatif daripada kolam berhampiran juga sedang dinilai, dengan mengambil kira kualiti dan keselamatan air.

Menurutnya, Ranhill SAJ telah menyediakan pelan mitigasi berdasarkan keadaan sumber air dan loji rawatan, termasuk penggunaan pam serta bekalan sokongan di kawasan bersesuaian.

Persediaan lori tangki dan tangki statik turut diberi perhatian bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan.

MetMalaysia pula bersedia melaksanakan pembenihan awan dengan penyelarasan Nadma sekiranya diperlukan dan keadaan atmosfera sesuai.

“Saya juga mengajak rakyat Johor menggunakan air secara berhemah, memeriksa kebocoran di rumah serta mengikuti maklumat terkini melalui saluran rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Encik Fazli berkata pembinaan Jambatan Kampung Sawah di Jalan Sawah, Pontian, yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit, telah diselesaikan.

Projek bernilai kira-kira RM3.7 juta ($1.1 juta) itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pontian bagi menggantikan jambatan lama dan menambah baik akses penduduk.

Skopnya meliputi pembinaan jambatan baru satu lorong dua hala, naik taraf jalan sepanjang 250 meter serta penambahbaikan persimpangan sedia ada.

Laluan susur ke jalan kampung juga akan dilengkapi penghadang keselamatan dan penutup jeriji longkang bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Encik Fazli berkata beliau turut meneliti keadaan Jalan Johor Bahru-Pontian (FT005), yang mempunyai jajaran bercampur antara dua dengan empat lorong.

Cadangan menaik taraf jalan sepanjang 3.5 kilometer di Pekan Nenas kepada empat lorong dua hala telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi melancarkan trafik.

“Kerajaan Negeri Johor akan terus memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan projek-projek bermasalah, di samping memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya di seluruh negeri,” katanya.