Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 kes cedera angkara mercun di M’sia

Mar 24, 2025 | 12:35 PM
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera dua jari kanan selepas tidak sempat melempar mercun bola dalam kejadian di Batu 23, Labok, Machang, Kelantan, pada 14 Mac lalu.
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera dua jari kanan selepas tidak sempat melempar mercun bola dalam kejadian di Batu 23, Labok, Machang, Kelantan, pada 14 Mac lalu. - Foto SITI ZURAINI MOHAMED

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya enam kes kecederaan akibat bermain mercun dilaporkan di Malaysia sepanjang Ramadan 2025 setakat ini.

Dalam kes terbaru di Jeli, Kelantan, pada petang 23 Mac, tiga pelajar lelaki yang bermain mercun yang diubah suai di dalam asrama sekolah, mengundang padah apabila kesemua mereka mengalami kecederaan dan melecur, termasuk putus jari tangan.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, ketiga-tiga mangsa berusia 15 hingga 16 tahun dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun, berkata ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai mengubah suai mercun dengan memasukkan belerang ke dalam sebuah botol bersama batu kerikil untuk dijadikan mercun.

“Akibat tindakan itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan dan melecur di beberapa bahagian badan. Seorang daripadanya yang berusia 16 tahun putus jari tangan sebelah kiri,” katanya, lapor Harian Metro.

Dalam kes terdahulu pada 18 Mac lalu, dua beradik, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7 tahun, dan Muhammad Aiman Naufal, 4 tahun, cedera akibat bermain mercun bola di halaman rumah mereka di Kampung Baru, Kuala Nerang, Alor Setar, Kedah.

Kejadian itu menyebabkan Muhammad Zharif Daniel kritikal dan tidak sedarkan diri Unit Jagaan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kanak-kanak itu sudah menjalani dua pembedahan selepas semua jarinya hingga pergelangan tangan kiri hancur, selain bawah pipi kanan terkoyak dan masih ditidurkan sehingga kini. Bagaimanapun, adiknya beransur pulih.

Dalam kejadian lain di Machang, Kelantan, pada 14 Mac lalu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera dua jari kanan selepas tidak sempat melempar mercun bola dalam kejadian di Batu 23, Labok.

Menurut ibu tiri remaja itu, Cik Siti Zuraini Mohamed, 24 tahun, kecederaan pada jari telunjuk dan jari hantu anak kedua daripada lima beradik itu disedari oleh ahli keluarga selepas melihat tompokan darah di atas tilam.

Katanya, keluarga kemudian membawa anak tirinya itu ke Hospital Machang untuk rawatan dan terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengadakan operasi dan pemeriksaan di serata Malaysia bagi membanteras penjualan mercun haram yang mengancam keselamatan dan telah merampas mercun yang dilarang dijual bernilai jutaan ringgit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg