Seramai 26,668 individu dikesan menagih dadah di seluruh Malaysia sepanjang 2024, dengan 76.1 peratus daripadanya merupakan penagih baru.
Lebih membimbangkan, 74.3 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada mereka yang berusia bawah 30 tahun.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Masyarakat Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perangkaan itu memberi gambaran jelas Malaysia kini berdepan krisis penyalahgunaan dadah yang serius dan berisiko membawa kemusnahan menyeluruh kepada masyarakat.
“Angka-angka ini hanyalah permulaan kepada masalah yang lebih besar yang mampu menjejas institusi keluarga, keselamatan masyarakat dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Berita Harian.
Menurut beliau, penyalahgunaan dadah seperti methamphetamine (syabu), heroin, ganja dan dadah sintetik kini bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah telah menular ke luar bandar – termasuk kes melibatkan kanak-kanak seawal usia enam tahun yang ketagih selepas terdedah kepada gula-gula dicampur dadah.
Tan Sri Lee menegaskan bahawa usaha membanteras dadah tidak boleh bergantung semata-mata kepada undang-undang yang keras, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi rawatan, pencegahan dan pendidikan.
Beliau mengakui bahawa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menyediakan pusat pemulihan, namun kapasiti dan akses kemudahan tersebut masih terhad.
Justeru, katanya perlu ada peningkatan pusat rawatan berasaskan masyarakat di seluruh negara.
“Kita boleh sepadukan rawatan dadah ke dalam sistem kesihatan awam supaya penagih boleh mendapatkan bantuan tanpa takut kepada stigma masyarakat atau dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.
Antara rawatan yang disyorkan termasuk Rawatan Berbantukan Ubat (MAT), terapi tingkah laku kognitif dan khidmat kaunseling keluarga.
Dalam menangani jaringan sindiket dadah antarabangsa, beliau turut mengusulkan agar negara melabur dalam penggunaan teknologi pengawasan moden seperti dron, sistem pengesan dan analisis data.
“Kerjasama dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura amat penting bagi memperkukuh perkongsian risikan dan operasi bersama,” katanya.
Tan Sri Lee turut menggesa agar undang-undang dadah negara menjalani pembaharuan yang lebih maju dengan membezakan antara pengguna dengan pengedar.
“Pengguna dadah wajar diberi peluang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengedar harus dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya.
Penguatkuasaan perlu diperkuat tambah beliau, terutama terhadap sindiket yang menggunakan pasaran dalam talian dan sistem pembayaran digital.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat Malaysia agar melihat isu dadah bukan hanya sebagai cabaran penguatkuasaan, bahkan satu tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen, inovasi dan belas ihsan.
“Perjalanan ini mencabar, tetapi Malaysia yang bebas daripada dadah bukan mustahil untuk dicapai,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg