Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga dan pengguna sah e-rokok kecewa terpalit kesan akibat kegiatan haram

Jul 6, 2025 | 5:30 AM
Pengarah Urusan Nanostix Innovations, Encik Shahabudeen Jalil.
Pengarah Urusan Nanostix Innovations, Encik Shahabudeen Jalil. - Foto ihsan SHAHABUDEEN JALIL

Peniaga yang memiliki lesen menjual ‘vape’, atau rokok elektronik (e-rokok), dan juga pengguna ‘vape’ di Malaysia melahirkan rasa kecewa kerana kegiatan haram segelintir pihak telah menyebabkan mereka yang sah turut terpalit.

Mereka bimbang mata pencarian serta usaha mengawal ketagihan rokok terjejas jika kerajaan Malaysia mengambil langkah mengharamkan sepenuhnya produk ‘vape’ di negara itu.

Pengarah Urusan Nanostix Innovations, Encik Shahabudeen Jalil, menegaskan masalah sebenar bukan datang daripada industri sah, tetapi daripada pasaran gelap yang sukar dikawal.

“Cecair ‘vape’ berbahaya yang mengandungi dadah diseludup dari luar negara dan dijual secara terbuka di jalanan. Ia tidak dijual di kedai ‘vape’ berlesen yang berdaftar dan mematuhi undang-undang,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Menurutnya, larangan menyeluruh bukanlah jalan penyelesaian kerana permintaan terhadap ‘vape’ tetap wujud dan akan terus dipenuhi pasaran haram.

“Jika kerajaan melaksanakan pengharaman, kawalan akan hilang sepenuhnya.

“Negara bukan sahaja kehilangan hasil cukai, malah pengguna semakin terdedah kepada risiko produk haram,” jelasnya.

Encik Shahabudeen mencadangkan agar kerajaan melarang terus import cecair ‘vape’ dari luar negara, terutama jika kawalan sempadan masih lemah.

“Kita harus mengutamakan pengilang dan pengusaha tempatan yang sah serta terkawal. Ini lebih berkesan untuk memastikan keselamatan pengguna dalam pasaran domestik,” tegasnya.

Seorang peniaga ‘vape’ berlesen yang ditemui BM di sebuah bazar malam di Kuala Lumpur berkata beliau dan rakan peniaga lain hanya menjual cecair sah dan bebas bahan terlarang.

Namun, kegiatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pengedar dadah yang menyamar sebagai penjual ‘vape’ menyebabkan mereka turut dipandang serong.

“Pengguna ‘vape’ memang ramai dan jualan kami boleh mencecah sehingga RM5,000 ($1,508) sehari antara 6 petang dengan 2 pagi.

“Tetapi disebabkan ‘tokan’ (runner) dadah yang menyalahgunakan ‘vape’ untuk menjual bahan terlarang, kami pula yang bakal menanggung akibatnya.

“Kami simpan stok dalam jumlah yang besar. Jika pengharaman dikuatkuasakan, bukan sahaja kami tidak dapat berniaga, malah keluarga kami juga akan terkesan,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Beliau menggesa kerajaan agar lebih tegas membanteras pengedar dadah yang bijak menyusup masuk ke pasaran ‘vape’ melalui saluran haram, termasuk dalam talian dan kenalan peribadi.

Sementara itu, seorang pengguna ‘vape’ yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 28 tahun, berkata beliau mula menggunakan ‘vape’ sejak 2019 sebagai usaha menghentikan tabiat merokok.

Menurutnya, pengguna sepertinya tidak mencari kesan khayal atau dadah, sebaliknya mahukan alternatif lebih bersih dan berkesan.

“Banyak jenama sah dijual di pasaran yang diyakini tidak mengandungi campuran bahaya. Tetapi apabila jenama haram masuk ke kedai runcit atau dijual secara rahsia, inilah punca masalah. Penguatkuasaan perlu lebih ketat,” katanya.

Menurut Zack, kerajaan harus mencontohi pendekatan Britain yang melaksanakan skim pertukaran rokok kepada ‘vape’ bagi membantu perokok berhenti secara berperingkat, termasuk menawarkan insentif kepada wanita hamil.

Seorang lagi pengguna ‘vape’, Encik Lai, 36 tahun, pula menyifatkan penggunaan ‘vape’ sebagai hubungan “cinta-benci”.

Menurutnya ada dalam kalangan pengguna mula menggunakan ‘vape’ terus tanpa pernah menyentuh rokok, manakala sesetengahnya seperti beliau berpindah daripada tembakau panas kepada ‘vape’ untuk mengurangkan bau dan gangguan kepada orang sekeliling.

“Masalahnya sekarang terlalu mudah dapatkan ‘vape’ haram – dijual melalui kawan, dalam talian, malah ada dihantar terus ke rumah.

“Cecair yang mengandungi dadah pun disamarkan sebagai produk biasa. Ini yang perlu dibanteras dahulu sebelum buat keputusan larang terus,” katanya.

Mengulas isu keselamatan dan kesihatan awam, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Masyarakat Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ucapan tegas Perdana Menteri, Dr Seri Anwar Ibrahim, mengenai ancaman ‘vape’ dan dadah dalam kalangan belia harus diterjemahkan kepada tindakan konkrit.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Masyarakat Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Masyarakat Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto FACEBOOK PERTUBUHAN IKATAN MASYARAKAT SELAMAT

“Ini bukan isu pinggiran, ia sudah menjadi krisis nasional.

“Bahaya ‘vape’ dan dadah semakin menular, menjadi punca ketagihan, keciciran pelajar dan jenayah.

“Jika tidak dibendung segera, negara akan menanggung akibat jangka panjang,” katanya kepada BM.

Beliau menggariskan keperluan tindakan menyeluruh, termasuk penguatkuasaan lebih ketat, peraturan dan pensijilan wajib bagi semua peranti serta cecair ‘vape’, hukuman berat kepada penjual haram, program pemulihan belia dan pendekatan masyarakat menyeluruh.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, pula berkata pengharaman menyeluruh perlu dilaksana demi kesihatan awam, terutama generasi muda yang semakin ramai mula mencuba ‘vape’ seawal usia 13 tahun.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira. - Foto ihsan PERSATUAN PERUBATAN MALAYSIA

“Kes kecemasan akibat ‘vape’ meningkat lima kali ganda dalam empat tahun, dengan 41 kes kecederaan paru-paru dilaporkan antara 2019 dengan 2024, menelan kos rawatan lebih RM150,000 bagi setiap pesakit.

“Pengharaman menyeluruh akan membantu mengurangkan ketagihan nikotin, mencegah penyakit serius berkaitan ‘vape’ dan mewujudkan generasi lebih sihat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg