Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

91 bangunan kediaman usang di ibu kota perlu dibangun semula

Jun 18, 2025 | 4:29 PM
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Harta Tanah Fakulti Bina Alam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Azwan Sulaiman.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Harta Tanah Fakulti Bina Alam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Azwan Sulaiman. - Foto DR MUHAMMAD AZWAN SULAIMAN

Sebahagian besar rumah pangsa lama terutama di kawasan ibu negara Malaysia sudah melebihi usia 30 tahun, menyerlahkan keadaan uzur kediaman yang semakin daif dan dilihat kurang sesuai untuk dihuni terutama bagi isi rumah ramai atau keluarga besar.

Dengan kebanyakannya hanya mempunyai satu atau dua bilik, satu tandas, ruang tamu kecil dan dapur sempit, kemudahan tersedia seperti tangga awam yang gelap tanpa lampu serta lif yang sudah tidak berfungsi dengan baik, menjejaskan kualiti hidup dan menyukarkan pergerakan penghuni khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Sebahagian rumah pangsa yang tidak diselenggara dengan baik turut mencemar keindahan pandangan di ibu kota dengan ada yang dipenuhi semak samun, malah banyak juga tapak kediaman terabai yang menjadi sarang peningkatan kes jenayah seperti penagihan dadah dan rogol.

Melihatkan keadaan ini, beberapa pihak mula mendesak kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA).

Namun, sebahagian besar pemilik kediaman lama yang sudah mencapai tahap perlu dibina semula menolak URA, didorong kebimbangan dalam beberapa perkara yang dilihat tidak memihak kepada pemilik kediaman terutama daripada aspek kewangan, sebaliknya didakwa lebih menguntungkan pihak pemaju.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Harta Tanah Fakulti Bina Alam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Azwan Sulaiman, berkata lebih 137 kawasan di ibu negara dikenal pasti perlu dibangunkan semula, dengan 91 kediaman merangkumi rumah pangsa dan perumahan awam dalam senarai perlu dibina semula.

Beliau berkata antara kawasan kediaman terbabit ialah Flat Desa Pandan; Flat Desa Petaling; Flat Kuchai Jaya; Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Jalan Kuching; selain beberapa perumahan awam (PA) di Kuala Lumpur.

“Kebanyakan rumah ini hanya bersaiz sekitar 600 - 800 kaki persegi, berusia lebih 30 tahun dan hanya memiliki antara satu dan dua bilik, yang tidak sesuai untuk kediaman berkeluarga,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurut Dr Muhammad Azwan, kebanyakan kediaman terbabit tidak diselenggara dengan baik dan perlu dibangunkan semula menerusi URA, namun kerajaan perlu meneliti semula beberapa perkara berbangkit yang menyebabkan URA mendapat tentangan ramai.

“Pandangan saya URA dapat meningkatkan kualiti hidup penghuni kediaman uzur ini dengan kemudahan serba baru dan lebih baik. Namun, apa yang dibimbangi pemilik kediaman ialah kemampuan mereka untuk berdepan kesan kewangan menerusi bayaran bulanan rumah dan penyelenggaraan yang tinggi.

“Kebanyakan yuran penyelenggaraan di rumah pangsa sekarang sekitar RM80 ($24) hingga RM100 sebulan, itu pun ramai yang culas bayar. Jika URA dilaksanakan, sudah pasti penghuni perlu membayar kos penyelenggaraan jauh lebih tinggi mencecah RM300 sebulan dan ini yang mereka bimbangkan,” katanya.

Tambah beliau kerisauan lain mengenai pelaksanaan URA adalah kemungkinan ia akan mengubah margin populasi penduduk di sesuatu kawasan itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Ar Aznida Azlan, berkata kerajaan boleh mencontohi negara maju yang kebanyakannya cekap dalam penyelenggaraan dan pemuliharaan bangunan lama, tanpa perlu sesebuah bangunan itu diroboh dan dibina semula.

“Jika dilihat daripada segi kualiti binaan, tidak boleh dinafikan kebanyakan bangunan lama berusia puluhan tahun lebih kukuh. Sekali pun tanpa pelaksanaan URA, kerajaan masih boleh membaik pulih terutama daripada sudut kosmetik bangunan dengan penyelenggaraan yang teratur,” katanya.

Jelas Ar Aznida URA yang dicadangkan kerajaan dilihat lebih memihak kepada pemaju berbanding pemilik asal kediaman, menyebabkan URA tidak dilihat alternatif terbaik untuk menangani isu kediaman usang.

“Bayangkan kebanyakan penghuni pangsapuri yang berusia puluhan tahun ini sudah melepasi usia persaraan dan sudah tamat komitmen bayaran bulanan rumah, jadi banyak kesan domino yang dibimbangi akan mengesankan mereka dengan pembinaan kediaman baru berbanding dibaik pulih,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg