Topik diikuti
Pergi ke BHkuAdun Permas persoal janji siap naik taraf Jalan Pasir Gudang Nov
Terdapat rungutan orang ramai mengenai keselamatan memandu waktu malam, permukaan tidak rata
Adun Permas persoal janji siap naik taraf Jalan Pasir Gudang Nov
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib, mempersoalkan kemampuan kontraktor menyiapkan projek naik taraf Jalan Pasir Gudang di Johor mengikut sasaran November ini, sedang pengguna terus membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan di laluan berkenaan.
Beliau berkata pihak kontraktor berulang kali memberikan jaminan mengenai tempoh penyiapan itu dalam mesyuarat, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa bilangan pekerja telah ditambah bagi mempercepat kerja.
Namun, beliau masih meragui sama ada sasaran tersebut dapat dicapai berdasarkan keadaan projek yang dipantaunya.
“Ketika mesyuarat, dia selalu kata bulan November. Saya cakap saya tak percaya, nampak macam tak boleh siap.
“JKR menjawab bahawa pekerja sudah ditambah dan projek boleh siap,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan orang ramai mengenai keadaan laluan yang lazim dikenali sebagai Lebuhraya Pasir Gudang itu, khususnya keselamatan pemanduan pada waktu malam.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah pencahayaan tidak mencukupi di sesetengah bahagian serta penutupan jalan bagi membolehkan kerja penurapan dilaksanakan.
Encik Baharudin berkata beliau turut mempersoalkan keadaan permukaan jalan yang tidak rata sehingga menyebabkan kenderaan melantun ketika melaluinya.
Menurutnya, kontraktor memaklumkan bahawa keadaan itu akan diperiksa dan bahagian yang tidak rata akan diturap semula selepas kerja lain dilaksanakan.
“Memang saya tanya kenapa jalan tidak rata. Dia kata akan tengok, siasat dan buat kajian semula. Kalau tidak rata, dia akan turap balik,” katanya.
Beliau berkata perkara itu akan dibangkitkan semula sekiranya projek itu masih belum siap pada penghujung November.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, ketika dihubungi berkata beliau akan meninjau projek berkenaan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaannya menepati jadual.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam kenyataan pada 14 Mei memaklumkan bahawa projek menaik taraf Jalan Pasir Gudang (FT17) daripada empat kepada enam lorong telah mencapai kemajuan fizikal 83 peratus ketika itu.
Menurut kenyataan tersebut, sepanjang 6.4 kilometer laluan sudah dibuka kepada pengguna, manakala baki 3.6 kilometer laluan utama dijangka dibuka sepenuhnya pada Ogos 2026.
Kerja akhir, termasuk kemasan dan penyelarasan prasarana lain, pula dijadualkan siap sepenuhnya pada November 2026.