JOHOR BAHRU: Jalan Jim Quee dicadang dikhususkan untuk bas dan teksi sebagai sebahagian daripada persiapan menampung pertambahan pengguna di pusat bandar Johor Bahru apabila Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura mula beroperasi.

Cadangan itu turut disokong perancangan menambah petak bas, menyusun lokasi mengambil dan menurunkan penumpang serta menyediakan kemudahan menunggu dan laluan pejalan kaki yang lebih teratur.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata langkah tersebut bertujuan melancarkan perjalanan orang ramai dari JB Sentral ke destinasi seterusnya.

Menurutnya, penambahan laluan dan kapasiti perkhidmatan bas perlu disertai kemudahan yang membolehkan penumpang bergerak dengan lancar, selamat dan selesa.

“Susunan petak bas perlu mengambil kira jarak berjalan kaki serta menyediakan akses di lokasi yang bersesuaian supaya penumpang tidak tertumpu di satu tempat. Ruang beratur, laluan pejalan kaki dan perlindungan daripada hujan turut menjadi perhatian,” katanya dalam kenyataan pada 29 Oktober.

Beliau berkata perkara itu diteliti ketika tinjauan di tapak, termasuk susunan tempat menunggu serta lokasi penumpang menaiki dan turun daripada kenderaan.

Bagi menjadikan Johor Bahru lebih mesra pejalan kaki, penyediaan lintasan zebra dan laluan berjalan kaki yang saling bersambung turut perlu diberi keutamaan.

“Pengguna perlu dapat bergerak dengan mudah dan selamat antara JB Sentral, tempat menunggu bas, ruang teksi serta kawasan sekitar,” katanya.

Encik Fazli turut menekankan bahawa pelaksanaan penambahbaikan tersebut perlu disertai pemantauan operasi dan pematuhan jadual perjalanan bas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 36 struktur dikenal pasti berada dalam rizab jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) di jajaran Projek Naik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang Fasa 3.

Jumlah itu merangkumi 22 kediaman dan 14 struktur komersial di jajaran sepanjang tujuh kilometer dari Persimpangan Bertingkat Perling hingga ke susur turun Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Menurutnya, penyelesaian isu pendudukan rizab jalan penting bagi membolehkan kerja naik taraf diteruskan dengan lancar.

Beliau telah mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan di JKR Johor Bahru bagi meneliti perkembangan terkini dan menyelaras urusan pengalihan struktur.

“Saya turut menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dengan penghuni dan pengusaha terlibat agar mereka memahami proses serta tindakan yang perlu diambil.

“Dalam memastikan projek dapat diteruskan, keadaan dan keperluan mereka yang terkesan juga perlu diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Encik Fazli turut mengadakan mesyuarat bagi menyemak perkembangan kerja pengalihan utiliti di jajaran projek sama.

Beliau meminta penyedia utiliti menyelaraskan jadual kerja dengan kontraktor utama serta menyegerakan penyelesaian isu teknikal, kelulusan dan halangan di tapak.

Bagi kerja yang mengalami kelewatan, tindakan pemulihan perlu dilaksanakan segera supaya kemajuan keseluruhan projek tidak terjejas.

Encik Fazli berkata pemantauan dan tindakan susulan akan diteruskan bagi memastikan projek berjalan mengikut perancangan, sekali gus meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kelancaran perjalanan pengguna.