Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agong: Usah politikkan projek tebatan banjir, segera selesaikan

Jan 11, 2024 | 4:24 PM
SANTUNI MANGSA BANJIR: Yang di-Pertuan Agong (duduk tengah) melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti, Felda Chini Satu pada 11 Januari.
SANTUNI MANGSA BANJIR: Yang di-Pertuan Agong (duduk tengah) melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti, Felda Chini Satu pada 11 Januari. - Foto BERNAMA

PEKAN (Pahang): Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mahu projek tebatan banjir dipercepatkan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan isu pengurusan banjir termasuk pembinaan projek tebatan banjir tidak dipolitikkan, sebaliknya dipandang serius dan diselesaikan segera.

“Saya harap jangka panjang kerajaan harus mempercepatkan projek-projek tebatan banjir yang telah dirangka oleh pihak berwajib di seluruh Pahang.

“Saya harap janganlah berpolitik dalam hal ini. Seelok-eloknya secara serius dan seberapa segera untuk membina tebatan banjir di seluruh negeri Pahang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Agong berkata demikian ketika menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1, di Pekan, pada 11 Januari.

Beliau turut menasihati mangsa banjir agar sentiasa menjaga kebersihan di persekitaran PPS terutama tandas bagi mengelakkan penyakit.

“Saya cuma mengingatkan ketika kita berada di PPS ini, saya harap kita kena jaga kebersihan. Saya bimbang selepas banjir habis, kita dapat penyakit... macam-macam penyakit.

“Wabak Covid-19 masih lagi berada di negara kita. Kita tidak mahu penyakit lain pula. Sebab itu diingatkan supaya kebersihan di persekitaran di PPS khususnya dalam bilik air.

“Jangan pandang ringan hal ini kerana ini akan menjadi punca jika tidak sama-sama bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah melahirkan ucapan takziah kepada keluarga Encik Muhammad Adhwa Haslan, 31 tahun, yang lemas selepas terjatuh ke dalam parit di ladang kelapa sawit di Sungai Bebar Utara, Pekan, pada 8 Januari.

Beliau turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga Encik Muhammad Adhwa serta menyampaikan sumbangan RM10,000 ($2,863) daripada Kerajaan Pusat manakala kerajaan Pahang pula menyumbang RM5,000.

Sementara itu, Cik Norhasimah Mustapa, 35 tahun, dari Felda Chini 1, berterima kasih di atas kesudian Agong menyantuni mangsa banjir di Felda berkenaan.

“Saya gembira kerana Tuanku prihatin... rumah saya dilanda banjir pada 6 Januari lalu dan saya berharap dapat pulang ke rumah secepat mungkin.

“Setakat ini, air di dalam rumah sudah kering tetapi keadaan di dalam rumah dipenuhi dengan selut dan harap dapat membersihkannya segera,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg