Banjir besar terus berlaku di Malaysia pada tempoh hujung dan awal tahun di beberapa negeri pantai timur khususnya Kelantan dan Terengganu, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Pada awal minggu ini, dilaporkan lebih 25,000 mangsa di dua negeri itu terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Beberapa negeri lain di Malaysia turut mengalami masalah banjir namun tidak seburuk Kelantan dan Terengganu.
Sedih juga membaca berita mengenai kediaman mangsa dinaiki banjir, merosakkan banyak barangan dan makanan di rumah, memaksa mereka berpindah ke PPS.
Lagi menyedihkan apabila berlaku kes penduduk mati lemas ekoran banjir, seperti seorang bayi lelaki berusia 15 bulan yang lemas selepas terjatuh ke dalam paya yang ditakungi air banjir baru-baru ini di Rantau Panjang, Kelantan.
Kes banjir terus berulang tahun demi tahun dan mengisi ruang berita media tempatan dan luar negara. Penduduk terjejas jenuh menghadapi banjir setiap tahun.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan tekad melaksanakan projek dan strategi jangka pendek dan panjang untuk menangani banjir saban tahun.
Namun projek seperti tebatan banjir akan memakan masa lama, dalam beberapa tahun, sebelum ia dapat dilancarkan.
Pada masa sama, beliau juga mengumumkan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) yang akan dibina segera, dengan projek rintis dimulakan di sembilan negeri.
Setiap PPKB bakal menjadi kemudahan perlindungan mangsa banjir yang lebih baik berbanding PPS.
Langkah itu akan membantu, namun semua pihak berharap strategi jangka panjang akan menjadi jawapan lebih berkesan dan berpanjangan.
Bagi rakyat Singapura, keadaan banjir di kawasan pantai timur Malaysia telah menyebabkan ramai mengelak melancong ke kawasan itu sempena musim cuti sekolah hujung tahun.
Pastinya, pengalaman terperangkap dalam banjir bukan satu yang menyeronokkan, seperti yang pernah dikongsi seorang kenalan.
Walhal, kawasan itu menawarkan kegiatan pelancongan menarik dan berlainan buat warga Singapura yang terbiasa dengan kehidupan bandar, dan mahukan kelainan berbanding melancong ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Keadaan banjir besar itu juga ‘menutup’ jendela pelancongan selama beberapa bulan, khususnya dari November hingga Januari, dan tidak membantu dalam merancakkan kegiatan pelancongan dan ekonomi di negeri pantai timur.
Ini walaupun ada tarikan istimewa seperti makanan laut yang sedap dan beraneka di Kelantan dan Terengganu, selain nasi kerabu dan nasi dagang yang menyelerakan.
Sama menarik adalah beberapa pulau peranginan indah khususnya di Terengganu.
Justeru, jika masalah banjir besar dapat ditangani dan tidak mengancam penduduk dan pelawat, potensi negeri pantai timur termasuk Kelantan dan Terengganu untuk menarik lebih ramai pelawat akan meningkat, sekali gus merancakkan ekonomi dua negeri itu yang dilaporkan tidak serancak kebanyakan negeri di Malaysia.
Amat dialu-alukan sekiranya Kerajaan Madani semasa dapat melakukan apa yang belum dapat dicapai kerajaan sebelumnya dalam menangani masalah banjir secara tuntas.
Ini termasuk dari segi peruntukan kewangan besar mahupun kelancaran projek berkaitan pencegahan dan pengawalan banjir besar, serta meletakkan usaha sedemikian sebagai satu keutamaan segera.
Mudah-mudahan tidak lama lagi, laporan mengenai banjir di pantai timur Malaysia akan semakin berkurang, dengan lebih ramai pelawat dapat ke sana sepanjang tahun untuk menikmati suasana kawasan pantai segar selain makanan yang enak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg