PARIS: Syarikat penerbangan terbesar Malaysia memeterai perjanjian dengan Airbus SE bernilai AS$20 bilion ($25.5 bilion) ketika Perdana Menteri Malaysia, Encik Anwar Ibrahim, mengakhiri lawatan beliau ke Eropah.
AirAsia Bhd mencapai persetujuan awal untuk membeli sehingga 70 pesawat lorong tunggal jarak jauh keluaran Airbus yang boleh mencecah nilai AS$12.3 bilion.
Malaysia Airlines Bhd pula menempah 20 lagi pesawat Airbus berbadan lebar model A330neo, dalam perjanjian bernilai AS$7.5 bilion, menurut anggaran Bloomberg sebelum diskaun industri.
Dengan diplomasi penerbangan menjadi tumpuan utama, kerajaan Malaysia juga mengumumkan rancangan untuk membeli beberapa aset pertahanan bagi memperkukuh keselamatan negara, lapor Bernama pada 4 Julai, memetik kenyataan Encik Anwar.
Ini termasuk dua pesawat pengawasan maritim bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 28 helikopter AW149 keluaran Leonardo SpA, serta kapal tentera laut dari Italy.
Pembelian besar-besaran ini, terutama bagi pesawat komersial, berlaku ketika Airbus dan syarikat pesaing dari Amerika Syarikat, Boeing, sama-sama mendapat manfaat daripada lawatan perdagangan antarabangsa ke Eropah serta rundingan tarif dua hala.
Perjanjian besar Boeing bernilai AS$96 bilion untuk 210 pesawat bagi Qatar Airways diumumkan semasa lawatan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, ke Timur Tengah pada Mei.
Manakala, tempahan 32 pesawat Boeing 787 Dreamliner oleh syarikat induk British Airways, IAG SA, menjadi tumpuan utama dalam perjanjian perdagangan baru Amerika dan Britain.
AirAsia pula menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi 50 pesawat model A321XLR dengan pilihan untuk menambah 20 pesawat lagi, menurut kenyataan syarikat itu pada 4 Julai.
Di bawah perjanjian sementara itu, pesawat lorong tunggal model jarak jauh Airbus dijangka tiba di Malaysia pada 2028, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, syarikat induk AirAsia, Encik Tony Fernandes.
“Sebuah pesawat lorong tunggal tentunya memberi kami risiko yang jauh lebih rendah dari segi memulakan laluan penerbangan baru.
“Tempahan ini membolehkan kami memiliki rangkaian pesawat lorong tunggal yang mampu terbang ke seluruh dunia,” kata Encik Fernandes menerusi satu panggilan video.
AirAsia, salah satu syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia Tenggara, merancang menggunakan pesawat jarak jauh ini untuk membuka laluan ke China, India dan kawasan lain di Asia-Pasifik yang kurang sesuai untuk pesawat lebih besar kerana kos bahan bakar yang tinggi, kata Encik Fernandes.
AirAsia turut merancang membuka hab di Teluk pada 2025 dan memperluaskan rangkaian penerbangannya ke beberapa destinasi di Eropah.
Syarikat penerbangan itu merancang untuk menempah sehingga 150 lagi pesawat bagi melengkapkan pelan strategik 15 tahunnya, kata Encik Fernandes.
Encik Anwar berada di Perancis untuk lawatan sulungnya sebagai perdana menteri atas undangan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg