Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asean harus lakukan lebih banyak, lakar agenda lebih bercita-cita tinggi

PM Wong turut gesa Asean dekati rakan dari EU, Australia, New Zealand dan Canada dalam bidang pertumbuhan baru selain dalami pendekatan dengan rakan sedia ada
May 26, 2025 | 6:18 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Sidang Puncak Asean ke-46 diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Malaysia pada 26 Mei
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Sidang Puncak Asean ke-46 diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Malaysia pada 26 Mei - Foto EPA-EFE

Asean mesti menunjukkan nilainya kepada rakan-rakan kongsinya dan menekankan lagi kepentingannya untuk terus memainkan peranan sebagai sebuah perkumpulan serantau yang kolektif, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Meskipun telah meraih kemajuan dalam pelbagai bidang kerjasama, Encik Wong berkata masih banyak yang perlu dilakukan, dan blok serantau itu “perlu melakar agenda yang lebih bercita-cita tinggi bagi Asean pada tahun-tahun mendatang”.

Dengan perubahan pesat di dunia, yang mana kerjasama berbilang hala dan globalisasi semakin terhakis, Encik Wong menggesa agar Asean mempertingkat integrasi dalamannya dan kerjasama dengan rakan kongsi luar.

“Dalam era pergolakan ini, kita diingatkan tentang asal usul Asean… Asean dibentuk pada masa konflik – ketika kita berada di kemuncak Perang Dingin – dan terpaksa mengendalikan situasi yang sangat mencabar ketika itu.

“Keadaannya berbeza sekarang, tetapi kebangkitan persaingan kuasa besar yang kita lihat di sekeliling kita hari ini terasa seperti kita kini berada di tengah-tengah Perang Dingin yang baru.

“Oleh itu, dahulu, seperti sekarang, Asean mesti bersatu untuk mengukuhkan integrasi kita dan menjadi entiti yang lebih bersatu supaya kita dapat memastikan ruang gerak dan agensi untuk terus melakar nasib kita sendiri ke hadapan,” kata beliau.

Encik Wong berkata demikian dalam ucapannya di sesi pleno Sidang Puncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Malaysia pada 26 Mei, di mana pemimpin dari 10 negara Asean bertemu di tengah-tengah ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif Amerika Syarikat yang menjejas prospek global.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sidang puncak tahun ini dipengerusikan Malaysia dan mengetengahkan agenda memandang ke hadapan dan keutamaan Asean dalam membina sebuah rantau yang bersatu padu dan berdaya tahan di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ekonomi.

Encik Wong memuji kepimpinan Malaysia semasa waktu mencabar ini, sambil berkata bahawa di bawah kepimpinannya, Asean dapat memperdalami integrasi dalamannya dan memperkukuh hubungan dengan rakan kongsi luar.

Contohnya, Asean telah membuat peningkatan kepada Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA), selain berada di landasan untuk menyelesaikan rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (DEFA) pada 2025.

Namun, beliau menekankan bahawa masih lebih banyak yang perlu dilakukan.

“Tetapi untuk Asean bersatu, kita juga mesti menunjukkan nilai kepada rakan kongsi kita, dan memperkukuh pemusatan kita,” kata beliau.

Bagi Asean melakukan demikian, terutamanya di tengah-tengah ketegangan geopolitik semakin meningkat, Encik Wong berkata blok serantau itu perlu memperdalami pendekatan dengan rakan-rakan sedia ada.

Selain negara Asia, seperti China, Jepun, Korea Selatan dan India, Encik Wong menambah rakan-rakan di Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand dan Canada, berminat bekerjasama dengan Asean. Justeru, beliau menggesa Asean mendekati mereka terutamanya dalam bidang pertumbuhan baru seperti ekonomi digital dan hijau.

Encik Wong turut mengajak Asean meneroka kerjasama baru, sambil berkata Asia kekal sebagai pusat pertumbuhan global dan masih merupakan rantau yang dinamik dan bertenaga.

“Beberapa negara ini mungkin belum bersedia menjadi rakan kongsi rasmi, namun kita harus mendekati mereka dalam bidang tertentu, yang mana terdapat kepentingan bersama.

“Kita juga harus meneroka konfigurasi fleksibel bagi kerjasama, seperti mana kita lakukan bersama negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC),” kata beliau.

Encik Wong menambah bahawa usaha juga perlu dilakukan untuk mempertingkatkan nilai platform Asean yang sedia ada.

Walaupun platform sedemikian tidak dapat menyelesaikan semua masalah, ia boleh bantu memupuk dialog dan kerjasama, dan oleh itu, Asean harus memberi tumpuan pada bidang-bidang yang mana mereka boleh bekerjasama dan memperkukuh kerjasama.

Salah satu caranya, kata beliau, adalah untuk melaksanakan Pandangan Asean Tentang Indo-Pasifik (AOIP) dalam cara yang kukuh dan praktikal.

“Ini dapat membantu memupuk tabiat konsultasi dan kerjasama, menangani perbezaan, dan mengelakkan konflik.

“Kita mesti melakukan perkara ini, terutamanya melalui Sidang Puncak Asia Timur (EAS), yang menyatukan semua kuasa besar dengan kepentingan di rantau itu,” kata beliau.

Pada hari pertama Sidang Puncak Asean itu, Encik Wong turut mengadakan pertemuan dua hala bersama tiga pemimpin negara – Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Sabah; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Para pemimpin Asean itu juga memeterai Deklarasi ‘Asean 2045: Masa Depan Kita Bersama’ yang melakarkan hala tuju blok serantau itu bagi 20 tahun akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg