Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ajak Shiro buka cawangan Bumbu Babah di Melaka

Dec 16, 2025 | 2:53 PM
bumbu babah, ajak shiro, melaka
Jenama restoran masakan Nusantara moden, Bumbu Babah, mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran francais makanan negara menerusi pembukaan cawangan di Jalan Hang Tuah di Melaka. - Foto BHM

MELAKA: Jenama restoran masakan Nusantara moden, Bumbu Babah, mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran francais makanan negara menerusi pembukaan cawangan di Jalan Hang Tuah di sini, menjadikan Melaka sebagai lokasi strategik terbaru bagi meluaskan rangkaian perniagaannya.

Cawangan di Melaka itu ditubuhkan melalui kerjasama strategik antara Analynsda Holdings Sdn Bhd dengan Babah Ventures Sdn Bhd, pengendali utama rangkaian restoran Bumbu Babah di seluruh negara.

Pengasas bersama makanan asli Minang itu, yang juga selebriti, Ajak Shiro, berkata pemilihan Melaka bukan sekadar untuk meluaskan pelaburan dan mengembangkan jenama, malah antara usaha mengangkat warisan rasa Nusantara sebagai tarikan pelancongan kulinari baru di negeri bersejarah itu.

“Melaka begitu dekat dengan saya. Banyak memori saya dengan negeri ini.

“Apabila saya mula berniaga, saya pastikan negeri ini adalah antara negeri yang mesti saya buka cawangan kerana potensinya yang mampu menarik jumlah pelancong yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran cawangan itu yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum.

Menurut Ajak, francais di Melaka itu turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta menyokong inisiatif kerajaan negeri menambah produk pelancongan berasaskan gastronomi.

“Kami ada merancang untuk membuka satu cawangan lagi, mungkin di tepi pantai, dan perancangan ini bukan hanya memperluas operasi tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Setakat ini, cawangan ini dijangka menerima lebih 15,000 pengunjung pada bulan pertama operasi,” katanya.

Ajak berkata semua hidangan disediakan melalui dapur pusat yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memastikan mutu dan piawaian kebersihan terpelihara sepenuhnya.

“Menjelang akhir 2025, syarikat menyasarkan untuk mempunyai 42 cawangan yang beroperasi di seluruh negara termasuk di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

“Langkah ini sekali gus memperkukuh kedudukan Bumbu Babah sebagai antara pemain utama dalam industri francais restoran berkonsepkan kulinari Nusantara moden di Malaysia,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg