Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aliran masuk dana asing semakin pulih di M’sia

Nov 7, 2025 | 4:12 PM
Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia.
Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia. - Foto FACEBOOK KEMENTERIAN KEWANGAN

KUALA LUMPUR: Minat pelabur asing terhadap pasaran Malaysia menunjukkan pemulihan ketara setelah pasaran serantau sebelum ini mengalami aliran keluar dana akibat ketidaktentuan sejagat.

Demikian menurut Kementerian Kewangan dalam satu jawapan bertulis di Parlimen pada 6 November.

Kementerian itu menjelaskan, sehingga 31 Oktober 2025, pasaran di rantau ini berdepan tekanan berikutan dasar tarif Amerika Syarikat dan tindak balas beberapa negara terlibat.

Ia mendorong pelabur memindahkan dana ke pasaran maju serta aset selamat seperti emas, yang kini melepasi AS$125 ($163) bagi setiap gram.

Namun, sentimen pelabur terhadap pasaran Malaysia kembali meningkat selepas dimuktamadkan tarif import Amerika terhadap Malaysia pada Ogos lalu.

Kementerian memaklumkan pelabur asing telah mencatat belian bersih ekuiti Malaysia berjumlah AS$19 juta pada September dan AS$646.6 juta sehingga 31 Oktober 2025.

“Perkembangan positif itu turut menyumbang kepada peningkatan Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM KLCI) sebanyak 4.1 peratus pada Ogos dan 2.3 peratus pada September, dengan indeks mencecah 1,609.15 mata pada 31 Oktober; paras tertinggi sejak Oktober 2024.

“Di sebalik ketidaktentuan antarabangsa, Bursa Malaysia turut kekal stabil hasil sokongan kukuh institusi pelaburan tempatan, khususnya syarikat berkaitan kerajaan.

“Setakat 31 Oktober, institusi tempatan merekodkan pembelian bersih bernilai RM18.4 bilion, sekali gus membantu mengekang turun naik pasaran secara mendadak.

Kementerian berkata keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia diperkukuh oleh asas ekonomi yang stabil, dasar kewangan yang menyokong pertumbuhan serta pelaksanaan dasar pembangunan jangka panjang seperti Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.

“Projek prasarana utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan LRT Pulau Pinang juga dijangka merancakkan perdagangan serta peluang pekerjaan.

“Dalam masa yang sama, penurunan kadar dasar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat sebanyak 25 mata asas pada September telah menjadi pemangkin kepada minat pelabur terhadap pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia,” katanya.

Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa pelaksanaan program rasionalisasi subsidi Budi Madani RON95 (Budi95), bantuan tunai di bawah Sumbangan Asas Rahmah (Sara) serta pembentangan Belanjawan 2026 telah menyokong pertumbuhan berasaskan penggunaan dan mengukuhkan persepsi terhadap hala tuju fiskal negara.

Sebagai Pengerusi Asean 2025, Malaysia juga memanfaatkan penganjuran mesyuarat ekonomi serantau bagi meningkatkan keterlihatan diplomatik dan mewujudkan ruang kerjasama pelaburan yang lebih luas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg