Belanjawan Malaysia 2026 akan menyaksikan peningkatan dalam perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion ($144.5 bilion) berbanding RM452 bilion bagi Belanjawan 2025.
Ia meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan; RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan; RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan awam berkaitan kerajaan (GLIC); RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober, berkata GDP separuh pertama 2025 mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu pada 4.4 peratus.
Katanya, biarpun diasak perang tarif Amerika Syarikat, unjuran semula GDP 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus membuktikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
“Bagi 2026, ekonomi kita diunjur berkembang lebih rendah antara 4.0 hingga 4.5 peratus. Ini susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan sengketa geopolitik, geoekonomi yang berterusan.
Datuk Anwar berkata Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ itu akan mengumpul dan mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD (syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan)), melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada 2025.
Datuk Anwar juga berkata pada 2026, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion, berbanding RM334.1 bilion bagi unjuran 2025.
Menurutnya, menghampiri tiga tahun pentadbiran Madani, pelbagai pembaharuan yang berani dan tuntas telah dilaksanakan dan mula menghasilkan anjakan membanggakan, termasuk penjimatan menerusi penyasaran subsidi yang sebelum ini turut dinikmati warga asing.
Beliau memaklumkan penyasaran pelbagai subsidi sekitar RM15.5 bilion setahun telah menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan ia bermakna lebih banyak dana kebajikan, peruntukan untuk kos sara hidup dan pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti akan dilaksanakan.
“Penyasaran subsidi petrol RON95 berpotensi jimat sekurang-kurangnya RM2.5 bilion. Malah rakyat dapat menikmati harga minyak lebih rendah pada kadar RM1.99 seliter.
“Penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik menjimatkan purata RM6 bilion, manakala penyasaran subsidi diesel menjimatkan RM5 bilion,” katanya yang turut menyentuh penstrukturan tarif elektrik; pengapungan harga telur ayam dan subsidi ayam turut menyumbang kepada penjimatan itu.
Beliau turut menyentuh kesan langkah kerajaan Malaysia memperbaiki tatakelola pentadbiran kerajaan telah berjaya melaksana langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel, dengan badan penguatkuasa berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion, yang boleh dikembalikan bagi manfaat rakyat.
Badan penguatkuasa terbabit, katanya, merangkumi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Datuk Anwar turut memaklumkan, JKDM akan memperkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi membendung pemalsuan, serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui Centralised Screening Complex CCTV.
Pada 2026, Datuk Anwar berkata kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi memperhebat Ikhtiar Madani Untuk Rakyat, mencakupi usaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.
Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM66.2 bilion untuk Kementerian Pendidikan, meningkat berbanding RM64.2 bilion pada 2025, manakala Kementerian Kewangan turut menerima peningkatan jumlah peruntukan iaitu RM46.5 bilion berbanding RM45.3 bilion pada 2025.
Datuk Anwar turut mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, selain bantuan khas kewangan sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Bagi merancakkan sektor pelancongan negara terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Datuk Anwar turut mengumumkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 atas perbelanjaan bayaran kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Untuk merancakkan sektor pelancongan, sejumlah RM700 juta disediakan yang turut termasuk RM500 juta untuk menjayakan Kempen TMM2026,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg