Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmanah saran PH hadapi PRU16 tanpa BN
Cadangan diberi bagi elak pengundi keliru
Amanah saran PH hadapi PRU16 tanpa BN
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengemukakan cadangan agar Pakatan Harapan (PH) bertanding tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata cadangan itu terkandung dalam usul yang diluluskan perwakilan pada Konvensyen Nasional Amanah 2026 di Shah Alam pada 22 November.
BN kini merupakan rakan kerjasama PH dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU15 pada November 2022, apabila Parlimen tergantung berikutan tiada blok politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Ini hanya saranan. PH yang akan putuskan. Kita akan bawa perkara ini dalam mesyuarat (Majlis Presiden PH) akan datang,” kata Datuk Mohamad, selepas konvensyen berkenaan, lapor portal berita, Malaysiakini.
Menurut Datuk Mohamad, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Amanah, iaitu satu daripada tiga parti komponen dalam PH berpandangan, blok politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu lebih baik menamatkan kerjasama dengan BN dalam Kerajaan.
Merujuk kekalahan PH kepada BN dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, beliau berkata pengundi keliru apabila kedua-dua gabungan bekerjasama dalam Kerajaan, tetapi bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya.
Sementara itu, Datuk Mohamad juga dijangka mengemukakan cadangan Setiausaha Agung Amanah, Encik Faiz Fadzil, supaya PH memperluas kerjasama dengan parti berteraskan Melayu, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ke Majlis Presiden PH.
Bagaimanapun, katanya idea membentuk ‘khemah besar’ itu masih di peringkat awal.
“Belum ada perbincangan rasmi lagi. Cuma Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan beberapa orang lain datang (ke konvensyen Amanah).
“Keputusan perlu dibuat melalui mesyuarat. Ia tidak boleh dilaksanakan jika Amanah sahaja yang bersetuju dengan idea ini.
“Kita perlu melakukannya bersama-sama. Jadi, kita akan bawa perkara ini juga ke mesyuarat,” kata Datuk Mohamad.
Sementara itu, Datuk Azmin, berkata beliau akan membawa cadangan ‘khemah besar’ yang dibangkitkan Encik Faiz, kepada pimpinan tertinggi partinya.
Cadangan itu menggesa PH memperluas kerjasama dengan parti berteraskan Melayu, termasuk Bersatu, bagi meningkatkan sokongan segmen pengundi itu menjelang PRU ke-16.
“Matlamat jajaran baru ini adalah untuk membuka peluang kepada rakyat membuat pilihan yang terbaik, menyasarkan prestasi, politik nilai, politik khidmat dan politik prihatin kepada rakyat,” katanya.