MELAKA: Meskipun Pakatan Harapan (PH) - parti pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi restu kepada pengundinya untuk menyokong calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pemimpin Bersatu bagaimanapun mengesahkan tiada arahan untuk akar umbinya membalas sokongan itu.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata walaupun tiada arahan dikeluarkan kepada ahli dan penyokong parti, pihaknya menghargai pendekatan PH yang menyatakan kesediaan untuk membantu Bersatu.

“Walaupun Pengerusi PH Melaka, (Encik) Adly Zahari, menyatakan secara terbuka bahawa tiada halangan bagi pihak mereka untuk memberi sokongan kepada kami di kawasan yang tidak ditandingi mereka, namun di pihak Bersatu, kami tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada ahli parti untuk berbuat demikian.

“Tetapi dalam masa sama, kami bersyukur kerana ada kepimpinan daripada PH yang menyatakan perkara terbabit,” katanya yang ditemui ketika membantu kempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Melaka, pada 3 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Adly yang juga calon PH untuk kerusi DUN Bukit Katil sebelum ini dilaporkan, berkata gabungan politik itu tidak mempunyai halangan sekiranya pengundi mereka memberikan sokongan kepada calon Bersatu di kerusi DUN yang tidak ditandingi PH.

Encik Adly juga dilaporkan berkata meskipun tiada kerjasama rasmi antara PH dan Bersatu, pendekatan itu diambil bagi meminimumkan pertembungan dengan parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, sekali gus membuka ruang kepada sokongan berkenaan.

Pada PRN Melaka kali ini, PH dan Bersatu bertembung di tiga kerusi iaitu di DUN Ayer Keroh, Kelebang dan Pengkalan Batu, manakala di Gadek menyaksikan gabungan itu bertembung parti rakan Bersatu, iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

PH bertanding di 24 daripada 28 keseluruhan kerusi DUN pada PRN Melaka ke-16, manakala Bersatu bertanding di tujuh kerusi.

Dalam perkembangan lain, Datuk Faizal yakin Bersatu berupaya mempertahankan dua kerusi dimenanginya pada PRN Melaka 2021 iaitu Sungai Udang dan Bemban.

Beliau berkata sasaran itu realistik berdasarkan persiapan jentera parti di semua peringkat.

“Hakikat yang kami nampak daripada segi persiapan jentera dan sebagainya, saya harap dapat kita capai dua atau tiga kerusi itu bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Kalau agaknya kami memikirkan bahawa kami akan mendapat keputusan sama (seperti di Negeri Sembilan), saya fikir kami tidak meletakkan calon.

“Namun, jika keputusan tidak menyebelahi kami, kami akan terus berusaha. Perjuangan tidak terhenti di PRN Melaka,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti