Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan dalaman susulan penularan sebuah rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal ditampar oleh individu lain di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor, memaklumkan kejadian itu dipercayai berlaku pada 11 Januari kira-kira 6.50 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati individu yang terlibat telah dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan sedang bercuti ketika insiden berkenaan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Januari.
Tambahnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut. Bagaimanapun, mangsa telah dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan individu berkenaan untuk membantu siasatan.
Polis menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang dakwaan salah laku atau kesalahan yang melibatkan pegawai dan anggota pasukan keselamatan.
Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang telah ditetapkan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang boleh mengganggu proses siasatan. Polis juga mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.
PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti selaras dengan komitmen pasukan itu untuk menegakkan undang-undang tanpa sebarang kompromi, termasuk terhadap anggotanya sendiri.
Terdahulu, satu video selama 33 saat telah dimuat naik di laman Facebook ‘Komuniti Johor’ dan tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki yang menaiki motosikal berwarna putih ditahan dan ditampar oleh seorang individu lain.
Motosikal tersebut juga dilihat ditahan oleh beberapa individu lain, sebelum penunggangnya diarahkan ke tepi. Video tersebut telah mendapat lebih 100,000 tontonan dan mendapat kecaman pengguna media sosial.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg