Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai berkaitan kejadian tular melibatkan sebuah kereta dibaling batu oleh penunggang motosikal di Lebuhraya Linkedua pada 1 Disember.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya M Kumarasan, berkata suspek ditahan pada 7.50 malam pada 2 Disember di kawasan Taman Bukit Kempas hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
“Suspek yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing turut didapati negatif.
“Polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Motif tindakan suspek membaling batu masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Disember.
Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari bermula 3 hingga 6 Disember bagi membantu siasatan.
Kejadian berkenaan mendapat perhatian luas selepas video selama 24 saat dimuat naik di akaun Facebook “Kemalangan Jalan Raya Hari Ini 2025”, memaparkan seorang penunggang motosikal bertindak agresif sebelum melontar batu ke arah sebuah kereta.
Dalam laporan polis yang dibuat pengadu, kejadian berlaku pada 8.20 pagi, 1 Disember, ketika beliau memandu di Lebuhraya Linkedua menghala Taman Bukit Indah.
Motosikal jenis Yamaha dikatakan tiba-tiba mengubah haluan, menyebabkan pemandu membunyikan hon sebagai amaran.
Penunggang motosikal itu kemudian mengejar kenderaan pengadu sehingga ke kawasan Taman Bukit Indah sebelum melemparkan batu ke arah kereta tersebut.
Tindakan itu menyebabkan cermin belakang kereta pecah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda minimum RM5,000 ($1,575).
Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa menjaga adab pemanduan dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengundang risiko kemalangan atau pertelingkahan.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat lebih daripada 400,000 tontonan dan lebih 650 perkongsian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg