Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah Gastronomi HalalTrip 2025 julang keunikan makanan halal Johor

Oct 24, 2025 | 12:24 PM
halal, Johor, anugerah
Pengarah Operasi HalalTrip, Cik Raudha Zaini (kiri), bersama Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim (kanan), ketika menyampaikan sijil dan anugerah kepada salah seorang pemenang Anugerah Gastronomi HalalTrip (HTGA) 2025. - Foto TOURISM JOHOR

Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama gastronomi halal di rantau ini menerusi penganjuran Anugerah Gastronomi HalalTrip (HTGA) 2025 Johor, yang berlangsung di Rimbunan @ Mall of Medini, pada malam 23 Oktober.

Majlis anjuran HalalTrip itu menandakan penampilan sulung Johor dalam siri anugerah berprestij tersebut yang sebelum ini hanya diadakan di Singapura.

Anugerah 2025 menghimpunkan restoran, cef dan pengusaha makanan terbaik Johor untuk diiktiraf atas inovasi, mutu serta sumbangan terhadap pembangunan industri makanan halal.

Pengarah Operasi HalalTrip, Cik Raudha Zaini, berkata penganjuran itu bertujuan mengiktiraf dan meraikan kreativiti serta keaslian dalam dunia kulinari halal yang semakin berkembang pesat di rantau ini.

“Anugerah Gastronomi HalalTrip meraikan semangat dan daya cipta penggiat industri makanan halal yang terus membentuk landskap kulinari Johor yang kaya dan pelbagai.

“Setiap pemenang mewakili jiwa gastronomi Johor, di mana warisan dan kemodenan berpadu dalam setiap hidangan,” katanya kepada wartawan.

Beliau menjelaskan bahawa edisi kali ini memberi tumpuan kepada tiga kawasan utama iaitu Iskandar Puteri, Gelang Patah dan Johor Bahru, dengan penilaian dibuat secara objektif oleh panel bebas berdasarkan mutu makanan, inovasi, suasana, khidmat pelanggan dan sumbangan terhadap pengalaman makanan halal.

Sebanyak 18 restoran dan cef menerima pengiktirafan dalam empat kategori utama, Diamond Awards, Best-in-Class Awards, Gastronomy Showdown dan Legacy Award, termasuk pengiktirafan khas kepada restoran bebas yang memainkan peranan penting dalam mengangkat mutu hidangan halal tempatan.

Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata kejayaan Johor menjadi tuan rumah anugerah itu selaras dengan tumpuan Tahun Melawat Johor 2026, yang menjadikan gastronomi halal sebagai segmen utama promosi pelancongan negeri.

“Kita mahu restoran dan pengusaha makanan di Johor bersedia menerima kedatangan pelancong dari seluruh dunia tahun depan (2026).

“Johor memiliki pelbagai juadah unik seperti laksa Johor, mi bandung, nasi beriani dan mi racun, semuanya mencerminkan keunikan budaya serta kepelbagaian masyarakat negeri ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa sijil halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa memberi kelebihan besar kepada Johor untuk menarik pelancong Muslim yang mencari makanan bermutu tinggi tanpa keraguan.

“Pelancong tahu mereka boleh menikmati makanan halal di Johor tanpa waswas. Ini menjadikan Johor bukan sahaja pusat pelancongan, bahkan juga hab gastronomi halal serantau,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg