Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang dalam perbincangan dengan Malaysia untuk melonggarkan sekatan ke atas Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS).
Ini termasuk membenarkan teksi Malaysia untuk menurunkan penumpang di mana-mana kawasan di Singapura, bukan sekadar di tempat yang ditetapkan. Begitu juga dengan teksi Singapura yang juga dibenarkan melakukan perkara yang sama di Johor Bahru.
Dengan permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan teksi rentas sempadan, kelonggaran sekatan tersebut akan memberi manfaat kepada penumpang dari kededua negara, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling, di Parlimen pada 15 Oktober.
Cik Sun berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan jika MOT mempertimbang untuk menambah lebih banyak perkhidmatan dari satu tempat ke satu tempat (P2P), antara Singapura dengan Johor Bahru, dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Untuk mengurangkan teksi asing daripada berlegar tanpa penumpang dan berpotensi menjalankan perkhidmatan kenderaan haram, teksi-teksi asing ini hanya akan dibenarkan mengambil penumpang di lokasi yang ditetapkan supaya mereka tidak melanggar pasaran P2P tempatan.
“Namun, demi kemudahan para penumpang, kami akan mengenal pasti lebih banyak lokasi pengambilan penumpang di Johor Bahru dan Singapura.
“Kami juga akan berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai pilihan-pilihan ini secara timbal balik,” ujar Cik Sun.
Berita Harian (BH) pada 10 Oktober melaporkan satu sesi perbincangan telah diadakan bersama wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Tourism Johor, dan Persatuan Sewa Persendirian Johor Selatan (SPHVA).
Antara cadangan yang dibentangkan ketika itu termasuk penambahan dalam bilangan kawasan penghentian teksi dan e-hailing (kenderaan sewa persendirian) selain di Larkin Sentral dan Queen Street.
Selain itu, pihak berkenaan sedang meneliti kemungkinan membenarkan lebih banyak jenis kenderaan, termasuk kenderaan mewah dan pelancongan, untuk menggunakan kemudahan rentas sempadan secara sah.
Setakat ini, hanya teksi berlesen rentas sempadan dibenarkan beroperasi dengan satu titik perhentian sah di setiap negara – teksi Malaysia hanya dibenarkan menurunkan penumpang di Terminal Queen Street, Singapura.
Teksi Singapura pula hanya dibenarkan menurunkan penumpang di Larkin Sentral, Johor Bahru.
Dalam pada itu, Cik Sun berkata pemerintah akan terus melibatkan Persatuan Teksi Nasional (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) untuk menerima cadangan mereka.
“Kami juga meneroka menggunakan penjejakan lokasi, termasuk ERP 2.0, dan langkah lain untuk menghalang perkhidmatan kenderaan haram dengan teksi rentas sempadan di dalam Singapura,” tambahnya.
Di bawah skim CBTS sedia ada, sehingga 200 teksi berlesen dari setiap negara dibenarkan membawa penumpang antara Singapura dengan Johor Bahru.
Justeru, AP GRC West Coast-Jurong West, Encik Ang Wei Neng, bertanya jika terdapat perancangan untuk meningkatkan jumlah kuota teksi.
Menjawab pertanyaan tersebut, Cik Sun berkata antara yang dibincangkan dengan MOT Singapura dan MOT Malaysia termasuk meningkatkan kuota teksi bagi kededua negara.
Di samping itu, terdapat juga perbincangan untuk mengenalkan model teksi kenderaan pelbagai guna yang lebih besar dan penggunaan aplikasi e-hailing untuk membuat tempahan.
LTA telah menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap perkhidmatan P2P yang menyalahi undang-undang.
Sejak Julai 2025, LTA telah menyita 107 kenderaan, yang pemandunya ditangkap, kerana menyediakan perkhidmatan kenderaan haram.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg