KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta semua pihak bersabar mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sambil menegaskan ia akan diadakan sebelum Februari 2028, selaras dengan tempoh penggal pentadbiran kerajaan.

Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata PRU16 boleh berlangsung sama ada sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan 2027, namun tidak akan melangkaui Februari 2028.

“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah... ia juga sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah.

“Ia tidak akan lebih daripada itu,” katanya ketika menjawab soalan mengenai PRU16 pada program Dialog Negara yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, pada malam 26 November, lapor portal berita Malaysiakini.

Sejak kebelakangan ini, segelintir pihak mendesak supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU16 disegerakan untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Desakan itu antaranya turut datang daripada Umno/Barisan Nasional (BN) yang menjadi rakan kerjasama Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Anwar dalam membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15, pada November 2022.

Mengulas kemungkinan beliau terus menerajui kepimpinan negara sekiranya diberikan mandat sekali lagi pada PRU16, Datuk Anwar berkata komposisi kerajaan selepas pilihan raya bergantung kepada keputusan PRU16 serta sokongan rakyat terhadap parti-parti politik.

Beliau berkata sekiranya diberi peluang untuk meneruskan pentadbiran, beliau berhasrat memanfaatkan pengalaman dan kekuatan sedia ada untuk terus mengangkat martabat Malaysia di persada serantau dan antarabangsa.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Komposisi kita tak boleh tentu sebab kita tengok keadaan dan sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti.

“Tetapi kalau saya, tentulah saya nak teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada dapat mengangkat martabat Malaysia.

“Saya pencinta negara. Saya yakin dengan keupayaan negara. Saya meletak harapan tinggi kepada anak-anak muda dan saya mahu Malaysia ini sekarang diangkat menjulang menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Anwar berkata masyarakat perlu menilai setiap hujah berkaitan agama berlandaskan ilmu dan fakta sahih, bukannya menerima bulat-bulat pandangan politik yang boleh berubah mengikut kepentingan semasa.

Beliau berkata pendekatan dakwah sebenar perlu berteraskan penguasaan ilmu, namun terdapat pihak menjadikan agama sebagai alat politik sehingga mengelirukan masyarakat, khususnya mereka yang kurang memahami perbezaan antara hukum agama dengan pandangan politik.

“Kasihan rakyat kita yang menggunakan agama yang pemahamannya agak dangkal, dia terima sebagai yang qat’i (muktamad) yang sudah tetap dan tidak boleh dirombak.

“Padahal kenyataannya ini kan pendapat, pendapat politik. Sebab itu kadang-kadang dalam politik itu dua tahun sekali diubah fatwanya, tetapi orang anggap benda ini daripada tok guru, dia anggap betul. Padahal ini pandangan politik,” katanya.