Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaannya gagal menamatkan kemiskinan tegar pada akhir 2023, sebagaimana sasaran ditetapkan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
Sebaliknya Menteri Kewangan itu berkata 65.6 peratus daripada 22,893 miskin tegar termasuk senarai ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, telah berjaya dinoktahkan sehingga 21 Oktober 2024.
Kata Datuk Anwar pada 31 Januari 2023, sejumlah 126,372 ketua isi rumah kategori miskin tegar telah dikenal pasti dan pada 29 Julai 2024, jumlah itu telah diselesaikan.
“Pada 29 Julai, kita selesai dan pada 1 Ogos, kita buka untuk penambahan permohonan baru dan jumlahnya adalah 22,893 ketua isi rumah miskin tegar. Setakat 21 Oktober 2024, 15,000 atau 65.6 peratus (miskin tegar) telah diselesaikan, bakinya akan kita tingkatkan.
“Janganlah kata kita (kerajaan) gagal, jumlah yang saya sebut tadi adalah jumlah kemiskinan tegar semasa kerajaan yang disokong oleh Yang Berhormat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (AP) Rantau Panjang, Cik Siti Zailah Mohd Yusoff (Perikatan Nasional) yang mendakwa Kerajaan Perpaduan gagal dalam menoktahkan kemiskinan mengikut garis masa yang ditetapkan iaitu akhir 2023.
Kata Datuk Anwar beliau turut meminta kerajaan negeri menambah usaha dilakukan termasuk meminda beberapa pendekatan kerajaan terdahulu dalam menangani kemiskinan tegar.
Menurutnya, usaha membasmi kemiskinan juga merentas pelbagai kaum dan mengambil kira pelbagai lapisan masyarakat daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Beliau mengakui mengikut data kaum Melayu merupakan majoriti yang miskin, namun kategori termiskin dalam kalangan rakyat miskin itu adalah daripada kaum India.
“Tidak benar sama sekali apabila kata usaha kita basmi miskin tegar tidak babit semua kaum... Kalau ada kenyataan di sebaliknya, itu boleh maklum pada saya,” katanya.
Sementara itu, pada sesi sama, Datuk Anwar turut menegaskan audit terhadap prestasi 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan dipantau Jabatan Audit Negara.
Beliau berkata GLC dan GLIC perlu bertanggungjawab atas banyak kecelaruan yang menjejaskan prestasi terutama yang mencatat kerugian setiap tahun.
Datuk Anwar turut menegaskan kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi antara calon politik atau bukan politik dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat GLC dan GLIC.
Malah katanya keutamaan diberikan kepada golongan profesional dan berkelayakan, namun perlu melalui proses semakan ketat oleh beberapa agensi penguatkuasaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg