Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia mahu tangani kebergantungan rakyat pada bantuan

Sep 30, 2024 | 2:59 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), melancarkan Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 September.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), melancarkan Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 September. - Foto FACEBOOK KETUA SETIAUSAHA NEGARA M’SIA

PUTRAJAYA: Selepas kerajaan Malaysia tegas melaksanakan penyasaran subsidi untuk menangani ketirisan dan penyelewengan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sindrom kebergantungan berterusan golongan rentan terhadap bantuan kerajaan juga perlu ditangani sebaik mungkin dan tidak wajar dibiarkan berterusan.

Beliau berkata kebergantungan berterusan kepada subsidi kerajaan bukan penyelesaian mutlak khususnya dalam memerdekakan ekonomi mereka daripada kelompok miskin tegar.

“Kadang-kadang pelaksanaan dasar itu baik, kita bantu, tetapi ia tidak membantu memerdekakan mereka (daripada miskin tegar) dalam ekonomi. Bantu sekadar hidup kemudian kekal bergantung kepada (pihak) penguasa.

“Penguasa juga (berasakan) dari segi faedah politiknya ada kerana (membiarkan) orang ini hanya akan bergantung dengan kita. Penyelesaian masalah ekonomi ini sepatutnya membebaskan, bukan terus bergantung,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 September.

Simposium sehari itu mengetengahkan beberapa isu utama seperti konsep dan pendekatan menoktah kemiskinan, keperluan pembiayaan dan keberkesanan cara ia dikelola bagi mencari penyelesaian terbaik yang boleh dipertimbang kerajaan Malaysia.

Menurut Datuk Anwar, dengan segala bentuk sokongan diberikan dan dana disalur kerajaan, tiada alasan untuk negara menyelesaikan masalah miskin tegar dalam tempoh singkat.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan membelanjakan antara RM20 bilion ($6.2 bilion) dengan RM22 bilion setahun untuk program dan daya usaha membasmi kemiskinan, namun dana besar yang diagih ada kalanya tidak disalur secara praktikal.

Sementara itu, Datuk Anwar turut menghantar isyarat menjelang pembentangan Belanjawan 2025 tidak lama lagi bahawa kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik di Malaysia.

Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Datuk Anwar menegaskan bahawa dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan yang memerlukan.

“Terdapat anak golongan kaya menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan berbanding golongan miskin. Bagaimana harus kita lakukan? Bentuk ketirisan termasuk anak golongan paling kaya ke sekolah menengah sains dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan harus dihentikan.

“Sepatutnya jika seseorang itu kaya atau benar-benar berkemampuan, mereka wajar menghantar anak belajar dengan perbelanjaan sendiri. Dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan.

“Kalau tidak, subsidi (untuk golongan kaya) ini berterusan, (manakala) hasil (daripada penjimatan subsidi) akan digunakan untuk bantuan tambahan kepada rakyat yang miskin,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg