Khazanah Nasional Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH), telah melabur lebih RM4 bilion ($1.2 bilion) dalam pembangunan Desaru Coast dan Legoland Malaysia Resort, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Anwar, juga Menteri Kewangan, berkata pelaburan tersebut meliputi pembangunan infrastruktur serta aset pelancongan utama, termasuk hotel bertaraf antarabangsa seperti The Westin Desaru Coast Resort, Hard Rock Hotel Desaru Coast, Anantara Desaru Coast Resort and Villas, dan The Sireya Desaru Coast by Mandarin Oriental (sebelum ini dikendalikan One&Only Desaru Coast).
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen (AP), Cik Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan-Puchong), pada 12 November.
Menurutnya, Khazanah turut menjalinkan kerjasama strategik bersama pelabur terkemuka termasuk Permodalan Darul Ta’zim (PDT), yang berperanan mengurus aset strategik Kerajaan Negeri Johor.
Datuk Anwar menjelaskan industri pelancongan global yang terjejas akibat pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada prestasi kewangan Desaru Coast dan Legoland Malaysia pada 2020 dan 2021.
Namun prestasi kedua-dua destinasi pelancongan itu kini menunjukkan peningkatan selepas pembukaan semula sempadan negara pada 2022, dengan kadar penginapan dan ketibaan pelawat yang kembali meningkat.
Pada April 2025, Desaru Coast menandatangani perjanjian dengan pengendali marina antarabangsa Oneº15 Marina untuk membangunkan kemudahan marina baru.
Sementara itu, pada Jun 2025, Mandarin Oriental mengambil alih pengoperasian resort berkelas tinggi di Desaru, langkah yang dijangka mengukuhkan lagi kedudukan destinasi tersebut sebagai hab kesihatan dan kesejahteraan utama di rantau ini.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, pembangunan Desaru Coast dijangka diperkukuh melalui penambahan bilik hotel, kediaman berjenama dan fasiliti pelancongan baharu.
“Desaru Coast juga bakal meraih manfaat langsung daripada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang akan meningkatkan hubungan serantau serta aktiviti perdagangan dan pelaburan.
“Sehingga kini, pembangunan Desaru Coast telah mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan, dengan 98 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Datuk Anwar menegaskan sebagai dana kekayaan berdaulat negara Khazanah mempunyai mandat melaksanakan pelaburan jangka panjang yang menyokong pembangunan mampan ekonomi negara.
“Pelaburan di Desaru Coast ialah contoh pembangunan pemangkin yang bukan sahaja berpotensi menjana pulangan berperingkat, tetapi turut memperkukuh ekosistem pelancongan negara serta meningkatkan profil Malaysia sebagai destinasi utama rantau ini,” katanya.
Pelaburan tersebut juga diyakini mampu menarik lebih banyak penyertaan pelabur sektor swasta serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui penciptaan peluang perniagaan dan pekerjaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg