Johor terus menjadi destinasi pilihan pelabur antarabangsa dengan pemilihan negeri itu sebagai lokasi hartanah kedua Mandarin Oriental di Malaysia selepas Kuala Lumpur dalam tempoh hampir 30 tahun.
Ini sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata langkah itu jelas menunjukkan potensi besar Johor dalam sektor pelancongan sejagat, selain menjadi bukti keyakinan pelabur antarabangsa terhadap masa depan negeri itu.
“Mandarin Oriental bukan sekadar jenama hotel biasa. Ia adalah simbol keanggunan, hospitaliti bertaraf dunia dan kecemerlangan seni bina yang terbukti menerusi hartanah ikoniknya di bandar besar dunia seperti London, Bangkok, Hong Kong dan Tokyo,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani perjanjian antara Desaru Coast dengan Mandarin Oriental yang dilantik sebagai operator baru Desaru Resort pada 5 Jun.
Majlis tersebut turut disifatkannya sebagai peristiwa bersejarah, terutama kerana menepis spekulasi negatif sebelum ini mengenai masa depan resort berkenaan.
“Suasana hari ini (5 Jun) jauh berbeza berbanding dua bulan lalu (April) ketika timbul berita kurang tepat mengenai penutupan resort ini. Hakikatnya, ia hanyalah pertukaran operator, bukan penutupan operasi.
“Hari ini, kita membuktikan bahawa resort ini bukan sahaja bertahan, malah semakin berkembang pesat dengan kehadiran Mandarin Oriental,” jelas Datuk Onn Hafiz.
Beliau turut berkata kehadiran Mandarin Oriental sangat tepat pada masanya kerana Johor kini berada dalam kedudukan strategik dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kerjasama antara Malaysia dengan Singapura dalam JS-SEZ telah membawa manfaat besar kepada Johor.
“Hanya dalam suku pertama tahun 2025 sahaja, Johor mencatatkan pelaburan asing secara langsung (FDI) sebanyak RM27.4 bilion ($8.32 bilion), meningkat ketara berbanding RM4 bilion pada suku sama tahun 2024.
“Ini jelas membuktikan potensi besar negeri ini dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan.
“Saya percaya kehadiran Mandarin Oriental akan meningkatkan lagi daya saing Johor di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Selain itu, beliau menyentuh mengenai pembangunan prasarana bernilai RM5 bilion oleh kerajaan persekutuan bagi memastikan JS-SEZ termasuk Desaru, dilengkapi infrastruktur bertaraf dunia.
“Kita telah memulakan kerja naik taraf lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Senai-Desaru. Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor dengan Singapura pula akan mula beroperasi sepenuhnya menjelang awal 2027,” tambahnya.
Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz berkata pembangunan Johor tidak hanya tertumpu kepada aspek prasarana semata-mata, malah ia turut melibatkan pembangunan modal insan secara menyeluruh.
“Sebanyak 70 peratus daripada 1,500 pekerja di Desaru Coast adalah anak Johor.
“Kerajaan negeri bersama Johor Talent Development Council terus bekerjasama dengan pihak hotel dan sektor pelancongan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat latihan serta kemahiran bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (interim) Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH), Cik Karina Ridzuan, berkata usaha untuk meningkatkan jumlah pengunjung dari Singapura akan terus dipergiat memandangkan pelancong dari republik itu kini merangkumi kira-kira 40 peratus jumlah keseluruhan pengunjung di Desaru Coast.
“Kami menyasarkan peningkatan lebih tinggi jumlah pelancong dari Singapura dan akan mempergiat promosi di republik itu serta Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau menjelaskan, pembangunan resort berkenaan turut memberi kesan langsung kepada masyarakat setempat, khususnya melalui peluang pekerjaan baru serta peningkatan kemahiran dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.
Difahamkan nilai pelaburan dari Mandarin Oriental di Desaru Coast akan hanya diketahui kelak.
“
“Kerjasama antara Malaysia dengan Singapura dalam JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) telah membawa manfaat besar kepada Johor. Hanya dalam suku pertama tahun 2025 sahaja, Johor mencatatkan pelaburan asing secara langsung (FDI) sebanyak RM27.4 bilion ($8.32 bilion), meningkat ketara berbanding RM4 bilion pada suku sama tahun 2024. Ini jelas membuktikan potensi besar negeri ini dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan...”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg