Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar mahu pembaharuan pentadbiran awam dilaksana segera

Sep 2, 2024 | 11:01 AM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan September 2024 di Puspanitapuri pada 2 September.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan September 2024 di Puspanitapuri pada 2 September. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pembaharuan dalam pentadbiran awam dilaksanakan dengan segera bagi memastikan semua usaha dapat berjalan dengan lebih berkesan.

Mengakui masih ada yang belum memuaskan, Datuk Anwar berkata beliau akan membincangkan mengenai langkah yang boleh diambil bagi memperbaiki prestasi bersama Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

“Penggabungan agensi dan jabatan, itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan, kadang-kadang yang kurang perlu itu masih belum di tingkat yang memuaskan.

“Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, ketua unit mengenai kelembapan, kecuaian beberapa pegawai, itu pun belum di tahap memuaskan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 September.

Datuk Anwar berkata semua perubahan itu harus dilakukan segera supaya anjakan ke arah lebih baik dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.

Beliau menegaskan bahawa konsep Madani menuntut semua perkhidmatan awam melihat kepada kerangka lebih besar, termasuk tumpuan terhadap tatakelola, pemacuan pertumbuhan ekonomi dan keselesaan rakyat.

“Ini kalau saudara lihat umpamanya masalah rakyat, kecepatan kita menjawab surat tuntutan mereka sama ada boleh tak boleh, langkah prosedur mereka harus patuhi, itu semua harus kita cari kaedah baru.

“Saya selalu menganggap tahap kecepatan, kepantasan melakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan masa,” ujarnya.

Beliau berkata semua penjawat awam perlu melakukan yang terbaik membawa perubahan ke arah kebaikan dan tidak sekadar kekal di tahap sederhana.

“Kalau kita kata tahap kecekapan, hasil baik tetapi adakah itu maksimum atau boleh diperbaiki? Tahap kecekapan naik daripada 70 sampai 85 peratus, mengapa tidak 95 peratus?

“Kaedah fahaman kita dalam tuntutan Islam itu sendiri, ia tidak pernah mahu manusia itu kekal pada tahap yang sederhana kerana umat yang sederhana, seimbang, bukan bermakna ‘average’, sederhana itu sikap tidak keras, tidak melampau, tidak menghukum, tetapi kesederhanaan itu menuntut yang terbaik,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan, penjawat awam boleh menjangka September sebagai bulan pergerakan serta pembaharuan lebih besar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg