KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit yang berada di landasan terbaik ketika ini dalam tempoh 14 tahun adalah disebabkan dasar kukuh Malaysia, serta hubungan diplomatik dan ekonomi yang teguh dengan negara lain, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia bukan kerana saya, bukan kerana Anwar tetapi kerana dasar-dasar kerajaan, kekuatan dan perpaduan kita,” katanya ketika berucap pada Himpunan Perdana Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, lapor The Star.
Ringgit dilaporkan meningkat 1.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada 2 Ogos lalu – peningkatan untuk hari ke-10 berturut-turut – dan yang terbaik sejak 2010. Ringgit ditutup pada RM4.49 berbanding dolar Amerika pada 4 Ogos.
Datuk Anwar berkata pencapaian itu bukan saja mencerminkan dedikasi dan komitmen kerajaan, tetapi juga usaha dan kerja keras bersama seluruh rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut pencapaian itu pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 5 Ogos, Datuk Anwar berkata kejayaan Malaysia mendapat pelbagai pengiktirafan dan pertumbuhan ekonomi serta pengukuhan ringgit kebelakangan ini, banyak dibantu oleh prestasi perkhidmatan awam.
Bagaimanapun beliau mengingatkan di sebalik kejayaan itu masih ada ruang untuk meningkatkan kecekapan dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya negara ini dapat menuju ke arah lebih baik.
“Kejayaan ini tentunya kerana politiknya lebih stabil, kemudian dasar dan kerangka lebih jelas.
“Tetapi satu elemen sangat penting untuk dijelaskan ialah kerana kita mempunyai budaya tradisi perkhidmatan awam yang banyak berusaha membantu meningkatkan prestasi dan menjamin kejayaan (negara),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tanpa komitmen penjawat awam, Datuk Anwar berkata dasar kerajaan Madani tidak mungkin terangkum, sukar ekonomi negara mencatat kejayaan, pelaburan tidak akan datang mencurah, malah projek tidak dapat dilaksanakan.
“Selalunya kita lihat di media, yang ditegur itu adalah kelemahan, masalah lambat, ketirisan... betul, saya tak nafikan, tetapi apa kurang diberi tumpuan ialah bahawa majoriti (penjawat awam) memberi khidmat.
“Khidmat yang diberikan bukan hanya sebagai penjawat awam dalam erti kata mengikut waktu dan tugas tetapi mencurah seluruh bakti dan tenaga mereka untuk nusa dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata tidak dinafikan pada peringkat awal Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran, berlaku kejutan dalam sistem politik di Malaysia, berdepan sedikit kesukaran disebabkan keadaan negara terumbang-ambing pada tahun sebelumnya.
“Kemudian saya datang dengan pandangan agak tegas, dengan cara kerja lebih keras, tentunya ia mengambil waktu, tetapi memang benar dalam penjawat awam ia mengambil masa untuk melihat komitmen dan peralihan itu,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg