BANGI: Selepas pendedahan skandal kerugian Lembaga Tabung Haji (TH), Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengutus surat kepada Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, untuk ‘melihat’ isu berkaitan pelaburan yang dibuat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam syarikat Eagle High Plantations TPK (EHP) di negara itu.

Datuk Anwar berkata kes EHP antara contoh skandal pelaburan mencatat kerugian berbilion ringgit yang tidak harus berlaku lagi.

“Isu yang dibangkitkan membabitkan (isu urus niaga) hotel di London atau Kuching, Sarawak, itu masalah kecil.

“Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia membabitkan EHP yang sekarang tersangkut di mahkamah.

“Saya sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo untuk meminta beliau melihat juga permasalahan ini.

“Kerugian kalau tidak ditangani, (adalah) RM2.5 bilion ($780 juta)... yang mungkin kita peroleh (semula) nanti hanya RM200 juta... ini satu contoh,” katanya berucap semasa sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus Felda, di Bangi, Selangor, pada 21 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Felda pada 2016 terbabit dalam pelaburan bernilai kira-kira RM2.3 bilion dalam syarikat perladangan EHP.

Pada Jun 2024, Tribunal Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (Siac) membuat keputusan yang memihak kepada anak syarikat Felda, FIC Properties Sdn Bhd (FICP), membabitkan tuntutan Put Option (hak penjualan semula aset) terhadap 37 peratus pegangan saham dalam EHP.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata berdasarkan keputusan itu, tribunal mengarahkan salah satu atau kedua-dua, PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) untuk menjalankan tanggungjawabnya di bawah Put Option dengan membeli kembali saham EHP pada harga atau kadar dipersetujui daripada FICP.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan Parlimen pada Oktober 2025, arahan timbang tara terbabit masih belum selesai dilaksanakan.

Pada Julai lalu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin, turut mahu kerajaan memberi perhatian terhadap EHP.

Datuk Anwar menegaskan siasatan terhadap TH dan Felda akan dilaksanakan dengan telus dan segera dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang bersalah tanpa mengira parti politik.