KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Malaysia yang dikeluarkan pada 24 Februari mendedahkan lima daripada 142 agensi kerajaan persekutuan mempunyai lebih banyak liabiliti daripada aset.
Dalam satu kenyataan berhubung laporan itu, Ketua Audit, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata audit terhadap 142 agensi itu mendapati mereka mempunyai aset sebanyak RM2.6 trilion ($786.8 bilion) dan liabiliti RM871 bilion.
Laporan itu menunjukkan aset tersebut meningkat sebanyak RM184 bilion, atau 7.3 peratus, daripada RM2.512 trilion pada 2022.
Liabiliti pula berkurangan sebanyak RM14 bilion, atau 1.6 peratus, daripada RM885 bilion pada 2022.
Datuk Wan Suraya berkata antara lima agensi yang jumlah asetnya lebih banyak daripada liabiliti ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menurutnya, PR1MA mempunyai liabiliti bersih berjumlah RM342.46 juta disebabkan Dana Pinjaman (Sukuk) yang perlu diselesaikan hingga 2027 dan tidak dapat ditampung oleh aset sedia ada.
“Bagi SWCorp pula, liabiliti bersih berjumlah RM140.15 juta adalah disebabkan Pemiutang Syarikat Konsesi dan Perbelanjaan Terakru yang tinggi berbanding jumlah aset sedia ada,” kata beliau, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Wan Suraya juga berkata sebanyak 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan mencatat kerugian berjumlah RM2.66 bilion, dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan penyusutan paling tinggi pada 2023.
Menurutnya, KWSP mencatatkan kerugian sebanyak RM940 juta menerusi 21 syarikat subsidarinya.
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pula mencatatkan kerugian bernilai RM720 juta menerusi lima syarikat subsidiarinya, diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak RM690 juta melalui empat syarikat subsidiarinya.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pula merekodkan kerugian berjumlah RM170 juta menerusi dua syarikat subsidiarinya, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatat penyusutan sebanyak RM140 juta melalui lapan syarikat subsidiarinya.
Sementara itu, 21 syarikat subsidiari lima agensi Persekutuan mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut sejak 2021.
Pada 2023, 21 syarikat subsidiari itu, iaitu 12 syarikat beroperasi di luar negara dan sembilan dalam negara, mengalami kerugian RM970.55 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg