PUTRAJAYA: Pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan seperti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong membuktikan proses kehakiman kekal bebas sekali gus menepis fitnah jahat kononnya wujud campur tangan dalam proses terbabit.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelantikan berkenaan dibuat melalui proses yang telus termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Sidang Majlis Raja-Raja kali ini dengan sendirinya membuktikan bahawa pertamanya proses berjalan baik, keduanya kita tunduk kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan Perkara 122B, ini berbeza dengan tohmahan yang berlaku sebelum ini.
“Jadi saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan baik Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini, berminggu-minggu dikecam dan difitnah,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, pada 18 Julai.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, Agong membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Datuk Anwar turut menegaskan nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak pernah diusulkan bagi jawatan Ketua Hakim Negara.
“Ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan, saya boleh sebutlah Tan Sri Ahmad Terrirudin, seorang mantan Peguam Negara yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan sekarang Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan.
“Jadi dari mana (timbul tohmahan)? Hanya dari sebaran daripada kalangan tokoh tokoh peguam yang berpolitik. Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua. Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan,” katanya.
Justeru, beliau menggesa supaya budaya fitnah, mencerca dan mengecam tanpa merujuk kepada fakta, dihentikan.
“Ini yang pernah saya sebut dahulu dan bahawa badan kehakiman itu satu kedudukan tonggak dalam negara yang berdaulat, merdeka dan prinsip demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan.
“Jadi siapa yang mencerca memfitnah, merosakkan krisis badan kehakiman? Krisis apa? Saya tidak buang mana-mana hakim, saya tak hantar hakim ke tribunal, saya tidak mengganggu-gugat mana-mana keputusan, saya tak arah mana-mana Ketua Hakim Negara dan hakim mahkamah rayuan seperti mana pernah berlaku dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru.
“Jadi saya ucap Alhamdulillah. Tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baru,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg