Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Peguam M’sia persoal AP, Majlis Peguam sengaja cetus kontroversi badan kehakiman

Jul 15, 2025 | 11:43 AM
Mantan Peguam Malaysia (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Mantan Peguam Malaysia (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mantan Peguam Negara Malaysia (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mempersoalkan tindakan segelintir Ahli Parlimen (AP), Majlis Peguam dan aktivis masyarakat sivil yang didakwanya sengaja mencetuskan ‘kekecohan’ berhubung isu pelantikan hakim.

Beliau yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berpandangan tindakan itu dibuat hanya berdasarkan andaian bahawa lantikan hakim akan dibuat Perdana Menteri tanpa semestinya mengikut cadangan nama yang disyorkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Justeru, Tan Sri Mohamed Apandi melihat tindakan pihak yang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman sebagai melucukan dan jika tidak pun penuh ironi kerana tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menetapkan tarikh akhir bagi pelantikan segera jawatan tertinggi kehakiman.

Tegasnya, Seksyen 27 Akta JAC 2009 menyatakan Perdana Menteri berhak sepenuhnya untuk meminta dua lagi nama calon tambahan bagi mana-mana kekosongan kehakiman, termasuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, yang mana undang-undang memberi ruang kepada budi bicara Eksekutif dalam proses pelantikan berkenaan.

“Histeria ini berpunca daripada andaian semata-mata. Ia belum pun berlaku. Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, seperti mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Datuk Mah Weng Kwai sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka bahawa Perdana Menteri tidak terikat untuk menerima syor JAC.

“Pada 2018, mereka menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi mengatasi Akta JAC,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 14 Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan AP Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, menyentuh isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

AP Hulu Langat (Selangor), Encik Mohd Sany Hamzan, berkata Datuk Anwar turut menjelaskan mengenai prosedur pelantikan terbabit, yang membabitkan kepentingan kepada pemerintah dan memerlukan kelulusan daripada Majlis Raja-Raja serta perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan.

Majlis Raja-Raja ke-269 bersidang bermula 15 hingga 17 Julai ini, dan isu mengenai badan kehakiman Malaysia termasuk pelantikan pengganti bagi jawatan tertingginya dijangka dibincangkan pada mesyuarat itu.

Sebelum ini, sekumpulan AP Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa wujud kepincangan ketelusan dalam isu pelantikan Ketua Hakim Malaysia, malah Majlis Peguam Malaysia turut berarak dan berhimpun di Putrajaya pada 14 Julai menuntut ketelusan dan penjelasan Datuk Anwar dalam isu itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg