PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, masih dalam tempoh bercuti dan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan belum diterima, tegas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata beliau sudah bertemu Encik Loke yang memberikan alasan meletakkan jawatan kerana hukuman tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, seperti diketahui sebelum ini, namun meminta beliau supaya bercuti terlebih dahulu.

“Saya belum terima peletakan jawatannya, beliau masih bercuti.

“(Saya ada) jumpa (Loke), beliau bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahunya supaya cuti dahulu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara di Putrajaya, pada 26 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Encik Loke, menyusuli peletakan jawatannya daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 10 November lalu.

Mengulas mengenai pelaksanaan tugas Menteri Pengangkutan sepanjang ketiadaan Encik Loke, Datuk Anwar berkata, Kementerian Pengangkutan memiliki Timbalan Menteri serta Ketua Setiausaha (KSU), selain pengurusan tertinggi kementerian.

“Tugas (Menteri) sekarang ini kalau ikut peraturannya memang KSU ada, Timbalan Menteri ada, tetapi memang Perdana Menteri tampung (pantau juga) sekejap,” katanya.

Pada 10 November lalu, Encik Loke mengumumkan peletakan jawatan dalam Kabinet menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membenarkan Encik Najib, yang juga bekas Presiden Umno, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah, bermula pada hari sama.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Encik Loke menegaskan beliau telah menyatakan lebih awal bahawa dirinya akan meletakkan jawatan sekiranya Encik Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara kes penyelewengan RM42 juta ($13.19 juta) dana SRC International Sdn Bhd, menerusi tahanan rumah.

Beliau menyatakan peletakan jawatan tersebut dibuat bagi menyatakan pendirian DAP yang sukar menerima keputusan berkaitan pengampunan bersyarat serta kebenaran untuk Encik Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah, selaras dengan perjuangan parti itu berhubung keadilan dan pertanggungjawaban kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2023 mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Encik Najib atas kesalahan berkait SRC International.

Bagaimanapun, pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan memberikan pengurangan hukuman kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta, sebelum beliau memperoleh pengampunan bersyarat berkuat kuasa 10 November lalu.

Pengampunan bersyarat itu membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah selepas menjelaskan denda berkenaan.