KUALA LUMPUR: Umno menuntut kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung proses, asas perundangan serta pihak yang meluluskan penyahklasifikasian minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak.

​Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penjelasan berkenaan penting bagi merungkai persoalan utama sama ada pendedahan dokumen terbabit sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya.

​Beliau berkata parti memandang serius serta amat kesal dengan tindakan penyebaran minit mesyuarat berkenaan di media sosial, khususnya tindakan mantan Ahli Parlimen Damansara daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Tony Pua, yang memuat naik dokumen terbabit menerusi akaun Facebooknya.

“Umno berpandangan penularan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan oleh mantan Ahli Parlimen DAP ini adalah satu bentuk penghinaan dan hasutan yang disengajakan untuk membuka perdebatan dan polemik mempersoalkan, menghina dan meremeh kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Nampaknya Tony Pua berterusan memperalatkan prosiding pengampunan diraja sebagai bahan perbalahan politik dan langsung tidak menghormati kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 18 November, Encik Pua memuat naik minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib, untuk menjalani baki hukuman penjara kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, sebagai tahanan rumah.

Menurut minit mesyuarat yang dikatakan telah dinyahklasifikasikan itu, antara lain merekodkan bantahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dari DAP, Cik Hannah Yeoh, untuk mesyuarat memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Presiden Umno itu.

Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said, pula dilaporkan berkata isu pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November lalu.

Katanya, ia tidak dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 12 November memaklumkan akan membawa cadangan untuk menyahklasifikasikan dokumen berkenaan ke Kabinet pada 13 November.

“Dalam Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri ada sebut (mahu bawa ke Kabinet) dan selepas itu Menteri Komunikasi (Datuk Seri Fahmi Fadzil) sebut selepas mesyuarat Kabinet (pada sidang media).

“Jadi, dalam mesyuarat Kabinet (13 November lalu) tidak ditimbulkan. Jadi, itu yang saya persoalkan. Saya bukan dalam Lembaga Pengampunan, justeru saya tak boleh sahkan sama ada minit (yang didedahkan) itu betul atau tidak,” katanya.

Isu nyahklasifikasi dokumen itu menjadi persoalan berikutan ia didedahkan oleh mantan AP DAP ketika kesahihan mengenai sama ada sudah mendapat kebenaran Agong untuk dinyahklasifikasi masih menjadi tanda tanya.