Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar sedia benarkan usul undi tak percaya di Parlimen

Susuli gesaan pembangkang untuk PM letak jawatan
Jul 21, 2025 | 12:12 PM
Malaysia, Anwar Ibrahim,  Parlimen
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedia berdepan usul undi percaya di Parlimen, selepas terdapat gerakan yang cuba menjatuhkan kepimpinan beliau. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan yang kerajaan tidak akan menghalang sebarang usul undi percaya dibawa di Parlimen, di tengah-tengah desakan pembangkang agar beliau meletakkan jawatan.

Datuk Anwar berkata beliau telah berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat (Parlimen), Tan Sri Johari Abdul, bagi memastikan jika usul sedemikian dibentangkan, ia akan dibahaskan serta-merta.

“Saya beritahu Speaker (Tan Sri Johari) kalau ada usul, (maka undian akan dijalankan) hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pada 21 Julai, lapor Malaysiakini.

“Hari ini hari pertama (sidang) Parlimen. Saya tunggu usul undi tak percaya. Kalau ada majoriti, silakan,” katanya lagi.

Namun, Datuk Anwar meragui kemampuan pembangkang untuk memperoleh sokongan yang mencukupi bagi menjatuhkannya, sambil menegaskan kerajaan masih memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

Menurut peraturan Parlimen, urusan kerajaan – iaitu rang undang-undang atau usul yang dibawa oleh kerajaan persekutuan – diberi keutamaan berbanding usul yang dibawa Ahli Parlimen (AP) biasa.

Pada Disember 2022, sebulan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Datuk Anwar sendiri telah mengemukakan usul undi percaya, yang dimenanginya melalui undian suara.

Ketika itu, pembangkang tidak meminta undian belah bahagi, yang mana setiap undi AP direkodkan secara individu.

Pada masa ini, Perikatan Nasional (PN) sedang menggerakkan siri himpunan ‘Turun Anwar’ bagi mendesaknya agar meletak jawatan.

Himpunan utama dijadual diadakan pada 26 Julai ini, dengan PN menyasarkan kehadiran 300,000 peserta. Namun, polis menjangkakan kehadiran lebih rendah, iaitu antara 10,000 hingga 15,000 orang.

Dalam perkembangan lain Datuk Anwar turut menegaskan nama Ketua Hakim Negara Malaysia, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang diumumkan baru-baru ini sudah dikemukakan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, lebih awal, dan bukan ditukar pada saat akhir seperti didakwa segelintir pihak.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tohmahan tidak berasas yang sengaja dipolitikkan, Datuk Anwar berkata tindakan terbabit sengaja mahu mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan rakyat terhadap sistem kehakiman.

“Sistem (kehakiman) itu dikatakan sudah dirosakkan, ada yang sengaja mahu mempolitikkan isu (ini).

“Seminggu kita (kerajaan) dihentam kononnya Perdana Menteri tidak menjawab. Mana mungkin saya boleh jawab ketika itu kerana proses (pelantikan hakim) masih berjalan,” katanya.

Dalam pada itu Datuk Anwar turut memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan pendirian negara, termasuk mengenai Dasar Bumiputera dalam berdepan rundingan isu tarif dengan Amerika Syarikat.

“Walaupun kita hadapi sekarang dalam rundingan dengan Amerika dalam soal tarif Presiden (Encik Donald) Trump. Itu perkara yang kita beri penekanan. Beberapa kali Jemaah Menteri (berbincang), tetapi kita ada pendirian, kita ada redline (garis merah), risiko kita sedia hadapi.

“Apa dia ‘redline’ itu? Jangan ganggu soal dasar negara,” katanya.

“Sistem (kehakiman) itu dikatakan sudah dirosakkan, ada yang sengaja mahu mempolitikkan isu (ini). Seminggu kita (kerajaan) dihentam kononnya Perdana Menteri tidak menjawab. Mana mungkin saya boleh jawab ketika itu kerana proses (pelantikan hakim) masih berjalan.”
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg