Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia lantik Ketua Hakim Negara baru

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu
Jul 18, 2025 | 1:00 PM
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Hakim Negara Malaysia
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (tengah) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, untuk dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru. Turut dilantik ialah Datuk Abu Bakar Jais (kiri) sebagai Presiden Mahkamah Rayuan; dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.  - Foto fail NSTP

Kemelut kekosongan kerusi Ketua Hakim Negara Malaysia berakhir apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.

Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid yang pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. 

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia di Facebook Badan Kehakiman Malaysia, pada tengah malam 17 Julai.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, menggantikan kekosongan ditinggalkan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi, pula dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan penyandang terkini yang bakal bersara.

Kenyataan itu menyebut, pelantikan hakim-hakim kanan itu mendapat perkenan Sultan Ibrahim selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” kata kenyataan itu.

Datuk Wan Ahmad Farid, 62 tahun, yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu, pernah aktif dalam politik dan menjadi Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu pada 2001.

Beliau juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia kelima, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2003 hingga 2008, sebelum memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari Mac 2008 hingga April 2009, juga ketika kepimpinan Almarhum Tun Abdullah.

Datuk Wan Ahmad Farid adalah hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024, selepas dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015.

Terdahulu The Straits Times pada 17 Julai melaporkan, Datuk Wan Ahmad Farid, amat disenangi dalam kalangan pengamal undang-undang yang menyifatkan beliau sebagai hakim yang adil.

Antara keputusannya yang mencuri tumpuan ialah tindakan menarik diri daripada mendengar permohonan untuk membenarkan Queen’s Counsel (QC) dari Britain mewakili bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, dalam rayuan berhubung kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta ($12.7 juta).

Datuk Wan Ahmad Farid ketika itu memetik konflik kepentingan, dengan menyatakan bahawa seorang ahli keluarganya iaitu abang beliau, Datuk Wan Hisham, merupakan ahli parti politik Encik Najib.

Sebelum ini, isu pelantikan hakim kanan Malaysia termasuk jawatan Ketua Hakim Negara mencetus polemik selepas sembilan Ahli Parlimen (AP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 7 Julai lalu mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), untuk menyiasat dakwaan mengenai kontroversi dalam badan kehakiman.

Kumpulan itu yang diketuai mantan Timbalan Presiden PKR merangkap AP Pandan (Kuala Lumpur), Datuk Seri Rafizi Ramli, mahu RCI ditubuhkan, didorong oleh kebimbangan melihat kemelut institusi kehakiman sekarang mirip kepada skandal video peguam VK Lingam, pada 2007, iaitu cubaan mempengaruhi pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.

Malah, sembilan AP terbabit turut memohon Datuk Anwar dipanggil Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi menjelaskan isu itu.

Dalam reaksi kumpulan sembilan AP terbabit menyusuli pengumuman pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara, Datuk Rafizi berkata ia hanya meredakan sedikit kebimbangan awam mengenai isu-isu bersabit kebebasan badan kehakiman.

Katanya, sebagai AP, mereka berharap kepimpinan badan kehakiman di bawah Datuk Wan Ahmad Farid akan meneruskan usaha mengukuhkan kebebasan badan kehakiman, dengan menyelesaikan isu-isu yang telah timbul.

Ia termasuk antaranya lantikan segera bagi kekosongan 31 jawatan hakim dan menyelesaikan isu untuk menyiasat tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kehakiman yang dibuat terhadap seorang hakim Mahkamah Persekutuan, seperti yang didedahkan dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Kami berharap sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, Datuk Wan Ahmad Farid menerima pelbagai pandangan ini dengan terbuka.

“Kami juga berharap pentadbiran Datuk Anwar tidak memandang perkara ini telah selesai sepenuhnya, selagi penambahbaikan kepada proses pelantikan badan kehakiman tidak dibentangkan kepada rakyat dan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Kontroversi badan kehakiman Malaysia itu turut mendorong Majlis Peguam Malaysia mengadakan perarakan dan perhimpunan yang disertai lebih 3,000 orang di Putrajaya pada 14 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg