Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar setuju selesai luar mahkamah kes saman fitnah terhadap AP Terengganu

Mar 5, 2025 | 2:02 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Ahmad Amzad Hashim (kiri).
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Ahmad Amzad Hashim (kiri). - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap Ahli Parlimen (AP) Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, selesai secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 5 Mac.

Saman itu berhubung kenyataan berbaur fitnah oleh wakil rakyat pembangkang itu bahawa Datuk Anwar berbohong menerima gaji RM1 ($0.30 sen) ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Datuk Anwar, berkata kededua pihak mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan awam.

“Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 5 Mac,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Nair berkata kededua pihak bersetuju untuk menamatkan pertikaian setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal mereka tanggung, memandangkan terdapat banyak isu lebih besar atau penting perlu diberikan perhatian.

“Selain itu, ia rentetan daripada tindakan Datuk Ahmad Amzad menarik balik kenyataan dibuatnya pada 7 Disember 2022 dan secara kesannya Datuk Anwar menarik balik saman itu.

“Penyelesaian itu adalah persetujuan bersama dan Datuk Anwar akan menarik balik saman fitnah berkenaan, tanpa kebebasan untuk memfailkan semula serta tanpa sebarang kos,” katanya.

Beliau berkata kededua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim serta pegawai mahkamah yang terbabit, sekali gus berharap keputusan itu dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak serta tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian Malaysia.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 22 Disember 2022, Datuk Anwar selaku plaintif mendakwa bahawa pada 7 Disember tahun sama, Datuk Ahmad Amzad, sebagai defendan membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan ketika menjamu selera di sebuah restoran.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Selangor sebagai Penasihat Ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai Penasihat Ekonomi, serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Datuk Anwar yang juga Pengerusi blok politik Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa bahawa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi pada peringkat negara dan antarabangsa, kerana beliau menentang rasuah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg