Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Sistem pendidikan M’sia perlu tekankan aspek nilai, moral

Oct 13, 2025 | 4:52 PM
pendidikan, sekolah, rogol
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) selepas Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pada 13 Oktober. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui ada kecacatan dalam sistem pendidikan Malaysia yang gagal menekankan aspek nilai, moral dan etika kepada pelajar, menyusuli beberapa insiden membabitkan kes buli dan rogol di sekolah baru-baru ini.

Datuk Anwar berkata sistem sedia ada terlalu fokus kepada aspek pengetahuan semata-mata, tanpa memberi perhatian sewajarnya terhadap pembentukan sahsiah diri dan prinsip kemanusiaan.

“Macam isu buli…baru saya umum pada Jumaat (10 Oktober) mengenai kes buli (ketika pembentangan Belanjawan 2026), berlaku pula kes rogol di sekolah. Pendidikan tanpa nilai, prinsip moral dan etika itu ada kelemahannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Oktober di Putrajaya, pada 13 Oktober.

Beliau menekankan kepentingan untuk sistem pendidikan negara dinilai semula dan serius dalam mengutamakan pendidikan nilai, moral dan etika bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral terus berleluasa di sekolah.

Datuk Anwar bagaimanapun menegaskan, guru tidak wajar dipertanggungjawabkan atau dipersalahkan sepenuhnya berikutan banyaknya isu salah laku moral membabitkan pelajar sekolah berlaku kebelakangan ini.

“Bukan salah guru saja, (tetapi juga) ibu bapa dan sistem. Mudah-mudahan kita ada tekad lakukan sebaiknya untuk keluarga, masyarakat dan negara kita,” katanya.

Media Malaysia pada 11 Oktober melaporkan, polis menahan reman empat pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Melaka sehingga 16 Oktober, selepas disyaki melakukan salah laku seksual terhadap seorang pelajar perempuan di sekolah terbabit.

Insiden malang itu terbongkar selepas ibu mangsa berusia 15 tahun itu menerima maklumat mengenai penyebaran video rakaman kejadian daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.

Datuk Dzulkhairi mengesahkan kejadian berlaku kira-kira 2.50 petang pada 2 Oktober lalu di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia, melaporkan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata semua empat pelajar Tingkatan Lima yang menjadi suspek kes rogol bergilir-gilir pelajar perempuan terbabit sudah dibuang sekolah serta-merta.

Beliau berkata keputusan itu dibuat Lembaga Tata Tertib Sekolah yang bersidang paa 13 Oktober.

Dr Mohd Azam juga berkata semua suspek dijangka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 3 November ini, namun bukan di sekolah sama, sebaliknya sama ada di pusat tahanan atau tempat berasingan dari pusat di sekolah mereka.

Katanya, apabila murid terbabit sudah dibuang sekolah mereka berkemungkinan memohon untuk bersekolah semula, tetapi bukan tempat sama.

“Mereka akan berada di sekolah yang lain. Identiti juga akan kita kita rahsiakan supaya kita dapat uruskan mereka menduduki peperiksaan dengan baik.

“Kalau misalnya ditempatkan di pusat tahanan, kita memang ada prosedur dalam buku pengurusan pengendalian peperiksaan SPM di Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).. kita akan uruskan mengikut prosedur yang ada,” katanya.

Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek pula menegaskan Kementerian Pendidikan memberi jaminan kebajikan dan psikologi terhadap mangsa dan pelajar itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital serta mendapat sokongan emosi daripada petugas perubatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pula menegaskan faktor usia di bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan.

Beliau berkata ini kerana tindakan merogol adalah perbuatan jenayah dengan tuduhan ke atas suspek boleh dibuat di mahkamah berasingan, bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.

“Kerajaan beri jaminan suspek kes rogol di sekolah menengah di Melaka itu akan dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan perundangan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan.

“Salah tetap salah, jahat tetap jahat. Hukuman tetap dikenakan, tetapi mahkamah (untuk prosiding pertuduhan dan perbicaraan kes terbabit) mungkin berlainan,” katanya dalam sidang media pada 13 Oktober.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober, Datuk Anwar memaklumkan kerajaan bersetuju membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 demi menoktahkan jenayah buli membabitkan pelajar sekolah yang dilihat semakin membimbangkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg