Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar tegur pihak desak menterinya letak jawatan
Tegas isu rasuah lebih genting; pertahan prestasi Anthony Loke dalam Kabinet
Anwar tegur pihak desak menterinya letak jawatan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegur sikap ramai yang lebih berminat dengan isu peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berbanding soal rasuah dan penjarahan harta negara.
Datuk Anwar berkata isu rasuah dan penjarahan harta negara adalah perkara yang lebih mendesak yang dihadapi Malaysia dan bukannya mengenai peletakan jawatan Encik Loke.
Malah, Datuk Anwar turut mempertahankan prestasi Encik Loke dalam Kabinet dengan menyatakan beliau tidak melihat sebarang kesalahan dalam tugas menteri berkenaan.
“Beliau baru sahaja menyerahkan surat (peletakan jawatan) itu (pada 28 September) dan apa masalahnya dengan Anthony Loke?
“Masalah sebenarnya adalah rasuah... perbuatan merompak dan menjarah harta negara. Perkara itu tidak pula dibangkitkan, sebaliknya orang terus mendesak supaya beliau meletak jawatan.
“Mengapa? Adakah mereka yang menjarah harta negara turut diminta meletak jawatan?,” katanya selepas merasmikan majlis perasmian Persidangan dan Pameran Profesional (Profex 2026) di Pusat Konvensyen KLGCC, di Kuala Lumpur, pada 29 September, lapor Berita Harian Malaysia.
Kenyataan Datuk Anwar itu dibuat selepas Encik Loke berkata beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.
Namun, ia akan berkuat kuasa selepas mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Razak, pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Encik Loke berkata peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa pada hari Encik Najib, yang diberikan pengampunan bersyarat oleh Lembaga Pengampunan, dibebaskan dari Penjara Kajang.
Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan keputusan itu dibuat selepas beliau diminta agar terus memegang jawatan buat masa ini, sementara menunggu keputusan muktamad.
Sebelum ini pada 19 September lalu, Encik Loke, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), mengesahkan menawarkan diri untuk meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan.
Ia sebagai reaksi partinya terhadap keputusan tahanan rumah Encik Najib.
Bagaimanapun, Menteri dan Timbalan Menteri DAP yang lain akan terus kekal dalam Kabinet, bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Pada 18 September lalu, mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberi pengampunan bersyarat kepada Encik Najib.
Ia membolehkan bekas Presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, namun, Encik Najib perlu melunaskan denda RM50 juta ($15.64 juta).
Pada Julai 2020, Encik Najib yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022
Namun, pada 2 Februari 2024, Urus Setia Lembaga Pengampunan mengumumkan Encik Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, dari 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.