Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar tersenarai di tempat ke-10 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia

Beliau berada pada kedudukan ke-15 pada 2025, dan ke-17 pada 2024
Oct 30, 2025 | 1:16 PM
Anwar, Muslim, berpengaruh
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melonjak ke kedudukan ke-10 dalam senarai tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia edisi 2026. - Foto LAMAN WEB JENDELA MADANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, naik ke tangga ke-10 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims 2026 (500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia), yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja, Amman, Jordan.

Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan, berada pada kedudukan lebih baik, berbanding sebelum ini iaitu di kedudukan ke-15 pada 2025, dan ke-17 pada 2024.

Laporan tersebut menyorot perjalanan panjang beliau dari zaman mahasiswa di Universiti Malaya hingga dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022.

Beliau digambarkan sebagai tokoh yang melalui pelbagai cabaran politik, termasuk tempoh pemenjaraan, pengguguran jawatan dan perjuangan berpanjangan sebagai pemimpin pembangkang, sebelum kembali menerajui pentadbiran Malaysia.

Penerbitan itu turut memetik peranan Datuk Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand dengan Kemboja selepas insiden pertempuran di sempadan, yang membantu mengukuhkan imej Malaysia sebagai pendamai serantau.

“Datuk Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dengan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan tersebut, lapor portal berita Astro Awani.

Dalam isu pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Datuk Anwar dikenali sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Palestin dan mengecam kekejaman Israel.

Beliau juga secara terbuka mengkritik syarikat Meta kerana memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh, menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut dan menyeru agar syarikat tersebut tidak tunduk kepada tekanan Israel.

Penyenaraian ini mengiktiraf kepimpinan Datuk Anwar dalam memperjuangkan keadilan sosial, tadbir urus Islam yang progresif, serta komitmen terhadap keamanan serantau dan perpaduan umat Islam di peringkat sejagat.

Tokoh yang menduduki tempat pertama dalam edisi 2026 ialah Amir (Ketua Negara) Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, turut tersenarai di kedudukan ke-15.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg