Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Tuduhan Anwar iktiraf Israel tak masuk akal’

Cubaan segelintir pihak termasuk pembangkang putar belit kenyataan PM M’sia dapat kecaman hebat
Nov 19, 2024 | 3:37 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara pemimpin negara yang paling lantang menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara pemimpin negara yang paling lantang menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa. - Foto fail BERNAMA

Cubaan segelintir pihak termasuk pembangkang memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya beliau menyokong Israel dalam wawancara bersama CNN telah mencetuskan kecaman hebat daripada rakyat Malaysia.

Tindakan tersebut dianggap tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan masyarakat.

Hakikatnya, Datuk Anwar adalah antara pemimpin negara yang paling lantang menyuarakan isu penindasan Israel dan sekutu Baratnya terhadap Palestin dan pembunuhan beramai-ramai rakyat negara itu sejak 7 Oktober 2023.

Ia terbukti apabila Datuk Anwar tidak pernah mensia-siakan pentas ucapan di majlis dan persidangan antarabangsa yang dihadirinya untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mendesak Israel agar menghentikan pembunuhan rakyat Gaza yang kini menjadi pelarian di tanah sendiri.

Malah, ketika menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Apec (AELM) di Lima, Peru pada 16 November, Datuk Anwar juga adalah satu-satunya pemimpin negara yang mengangkat isu penindasan terhadap Palestin, meskipun forum tersebut tertumpu kepada ekonomi dan perdagangan.

Dalam pernyataan balasnya terhadap kecaman dan manipulasi pihak yang memutarbelitkan kenyataannya dalam wawancara CNN itu, Datuk Anwar yang disenaraikan di tempat ke-15 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia, membidas keras fitnah kononnya beliau mengiktiraf Israel.

“Politik apa macam ini? Memperbodoh rakyat, menipu, memfitnah atas nama Islam. Ini yang disebut penunggang-penunggang agama yang tak reti nak ulas.

“Kalau orang tanya, apakah wujudnya Israel? Ia wujud (tetapi) Malaysia tidak iktiraf, maknanya tidak hantar pegawai kedutaan, tidak ada hubungan diplomatik. Itu maksudnya,” katanya pada 16 November.

Video wawancara itu tular selepas disunting dan menimbulkan dakwaan seolah-olah Datuk Anwar mengiktiraf Israel dan ia mengundang reaksi negatif pelbagai pihak yang tersasar daripada tafsiran sebenar.

Dalam wawancara dengan hos Encik Richard Quest itu, Datuk Anwar menegaskan pendirian moralnya untuk tidak menyokong keganasan dalam apa jua bentuk, termasuk sebarang pembunuhan terhadap mana-mana pemimpin politik.

Bagaimanapun, menjawab provokasi Encik Richard yang menyatakan bahawa keganasan bermula daripada tindakan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, Datuk Anwar menekankan bahawa perbincangan Barat sering mengabaikan konteks sejarah sebelum 7 Oktober 2023.

Ia termasuk penjajahan dan pengusiran yang telah dialami oleh rakyat Palestin selama berdekad-dekad.

Datuk Anwar kemudian mengaitkan konflik itu dengan perjuangan menentang penjajahan, sambil mengkritik hipokrasi media Barat yang hanya memberi tumpuan pada tindakan keganasan terkini tanpa mempertimbangkan ratusan ribu kematian akibat penjajahan rejim Zionis sejak puluhan tahun lamanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap sikap Barat yang seolah-olah menghalalkan pendudukan, serangan dan tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Perkongsian Datuk Anwar itu kemudian disusuli dengan soalan daripada Encik Richard sama ada beliau bersetuju atau tidak bahawa “Israel mempunyai hak untuk wujud dan Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya” yang dijawab “ya” oleh Datuk Anwar.

Bagaimanapun, hanya kenyataan pendek itu yang ditularkan di media sosial, sementara ulasan panjang lebar Datuk Anwar terhadap isu Palestin sebelum itu tidak disertakan, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan tafsiran salah terhadap maksud sebenar pemimpin itu.

Susulan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang dianggap sebagai berlebihan memainkan isu kononnya Datuk Anwar mengiktiraf Israel.

“Saya percaya bahawa rakyat mengikuti perkara ini dan tahu buat penilaian. Sebab itu kita minta hentikan, tetapi kalau berlebihan, pendekatan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg