JOHOR BAHRU: Empat lelaki tempatan diberkas selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah menerusi tiga serbuan di sekitar Johor Bahru pada 10 dan 11 Oktober.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad, berkata dalam siri serbuan bermula 4 petang, suspek yang diberkas masing-masing berusia 35 hingga 54 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama di sebuah apartmen di Taman Delima membawa kepada penahanan dua lelaki serta rampasan pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA seberat 10 kilogram (kg) dan pil ecstasy 2kg.
“Serbuan kedua pula dilakukan di tepi jalan kawasan Taman Sri Tebrau, membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki bersama syabu seberat 1.44 gram (g).
“Serbuan ketiga di sebuah apartmen di Jalan Larkin berjaya menahan suspek keempat dan merampas sejumlah besar dadah pelbagai jenis termasuk serbuk MDMA (15.31 kg), serbuk ecstasy (3.46 kg), pil ecstasy (3.49 kg), pil Erimin 5, ganja, ketamin dan syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 15 Oktober.
Datuk Ab Rahaman berkata secara keseluruhan, dadah yang dirampas seberat 37.62kg bernilai RM5.33 juta ($1.64 juta).
Beliau berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Mac dan menggunakan modus operandi menyewa apartmen berpagar sebagai tempat penyimpanan serta membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Jelasnya, dadah berkenaan disyaki diperolehi daripada sindiket lain yang memproses dadah berkenaan dalam negara.
“Sindiket ini mereka tak proses, mereka cuma membungkus bekalan yang dibeli dan edarkan kepada pelanggan, mereka jual ke pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini,” katanya lapor Kosmo!.
Beliau menambah, siasatan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.
Katanya, polis turut menyita tiga kereta dan pelbagai barangan kemas bernilai RM123,200, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan serta sitaan sebanyak RM5.45 juta.
Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula 11 hingga 17 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg