Pihak berkuasa Johor berjaya merampas sebanyak 1,997 unit rokok elektronik serta produk berkaitan, manakala 10 notis amaran dikeluarkan terhadap pihak yang didapati melanggar larangan penjualan produk berkenaan di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata tindakan itu selaras dengan larangan penjualan rokok elektronik yang telah dikuatkuasakan di negeri ini sejak 2016, berdasarkan arahan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ketika Baginda menjadi Sultan Johor.
“Sejak arahan ini dikuatkuasakan, tiada satu pun daripada 16 pihak berkuasa tempatan di Johor meluluskan lesen untuk menjual produk rokok elektronik. Larangan ini kekal tegas dan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 September.
Beliau berkata isu itu kini semakin mendapat perhatian antarabangsa apabila Singapura turut menguatkuasakan pengharaman sepenuhnya, sekali gus mengukuhkan lagi kepentingan usaha Johor untuk memperkukuh nasihat dan penguatkuasaan.
Encik Ling menegaskan reka bentuk moden, variasi perisa dan gaya pemasaran yang menarik menjadikan rokok elektronik mudah mempengaruhi golongan muda.
“Ramai pengguna sering meremehkan kesan kesihatan, sedangkan ia boleh mengakibatkan ketagihan serius serta risiko penyakit paru-paru,” jelasnya.
Menurut beliau, nasihat kesihatan awam perlu dipergiatkan bersama tindakan tegas berterusan. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat jika mengesan sebarang aktiviti penjualan kepada pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Kesihatan Johor untuk tindakan lanjut.
“Kerajaan Johor akan terus tegas membanteras penjualan rokok elektronik demi melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda. Matlamat kita jelas – memastikan Johor kekal bebas daripada bahaya rokok elektronik,” tegas Encik Ling.
Beliau berkata dalam operasi sama, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 kerana tidak mempamerkan tanda larangan penjualan produk merokok kepada orang belum dewasa.
Manakala, katanya, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 7 (1) akta sama kerana larangan pengiklanan produk tembakau bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.
Penguatkuasaan dijalankan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MBJB) 2016 Akta Kerajaan Tempatan.
Johor merupakan negeri terawal melarang dan tidak membenarkan penjualan rokok elektronik atau vape berkuat kuasa 1 Januari 2016 susulan arahan Sultan Ibrahim.
Berikutan peningkatan vape yang mengandungi bahan berbahaya dan ketagihan seperti etomidate, Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, menegaskan bahawa pemerintah akan menganggap penggunaan vape sebagai isu dadah serta mengenakan hukuman lebih berat.
Vape diharamkan di Singapura sejak 2018, dan individu yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape boleh dikenakan denda sehingga $2,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg