Tidak pernah beliau menyangka bahawa hobi sekadar mencoret-coret boleh mendatangkan rezeki.
Lebih-lebih lagi, apabila warga Johor, Cik Nabihah Durrani Ab. Malik, menconteng terus ke atas kenderaannya sendiri, sebuah kereta Alphard, pada Disember 2024, lalu dimuat naikkan hasilnya ke media sosial.
Apa yang bermula sebagai percubaan sahaja akhirnya mencipta fenomena tersendiri – Cik Nabihah, 40 tahun, kini dikenali sebagai pelukis lukisan berkonsep komik, yang semakin dikenali di Malaysia dan Singapura.
“Saya memang minat menconteng sejak dulu. Pada Disember tahun lepas (2024), saya cuba melukis di kereta sendiri, sebuah Alphard, dan memuat naik video proses tersebut.
“Tak sangka ramai yang berminat dan memberikan maklum balas positif,” ujar ibu empat anak berusia enam tahun hingga 13 tahun itu kepada Berita Harian.
Coretannya di kereta Alphard itu menarik perhatian netizen, terutama Encik Nurisham Abdul Wahab, 44 tahun, seorang pemilik kereta Maserati dari Singapura, pelanggan pertama Cik Nabihah untuk khidmat lukisan bergaya komik ke permukaan kereta.
Tugasan itu dirakam Cik Nabihah lalu dimuat naikkan juga ke media sosial dan video itu telah menjadi tular, dengan lebih 140,000 tontonan dan meraih lebih 3,000 ‘likes’.
“Pada mulanya saya rasa gementar tetapi ghairah juga sebab dapat pelanggan dari Singapura. Rasa macam mimpi bila dapat peluang ini, lebih-lebih lagi kereta pertama yang saya conteng ialah kereta Maserati,” kongsi Cik Nabihah yang tiada latihan formal lukisan berkonsep komik, malah hanya berpandukan gambar dan video artis luar negara.
Beliau juga menjelaskan bahawa sebelum melukis langsung ke kereta, beliau akan buat kajian dan untuk tugasannya ini, beliau telah melakarkan tujuh draf dalam seminggu sebelum melukis kereta Encik Nurhisham.
Teknik yang digunakan juga menampilkan bayang dan elemen realistik yang menjadikan hasilnya seolah-olah timbul, mirip gaya pelukis profesional dari luar negara yang menggunakan teknik semburan cat (spray paint) untuk mendapatkan kesan bayangan.
Apabila ditanya mengapa Encik Nurhisham tertarik dengan lukisan berkonsep komik ini, beliau menjawab:
“Saya ingin mencuba suatu kelainan. Orang lelaki suka menghias kereta, dan setiap kenderaan yang saya miliki sebelum ini pernah bertukar warna melalui spray atau wrapping. Jadi kali ini, saya cuba contengan ala komik pula.
“Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan hasil kerja tangan Nabihah. Kereta saya kini kelihatan seperti dalam majalah komik.”
Encik Nurhisham memaklumkan Cik Nabihah beliau minat dengan watak naga ‘Toothless’ daripada wayang ‘How to train your dragon’.
Selain itu, beliau turut berkongsi reaksi orang ramai terhadap keretanya.
“Ngauman kereta Maserati saya boleh buat orang berhenti seketika untuk mencari sumber bunyi yang kuat. Dengan contengan unik ini, walaupun enjin tidak dihidupkan, orang tetap akan berhenti dan berdiri dekat untuk melihatnya,” kata pelabur itu yang kini sering diusik rakan-rakannya kerana keretanya senang dicam.
Menurut Cik Nabihah, lukisan pada Maserati itu mengambil masa sekitar enam jam untuk disiapkan. Video proses lukisan tersebut telah mendapat perhatian meluas dan juga membuka pintu peluang rangkaian pelanggan.
Sejak videonya menjadi tular, beliau menerima ratusan pertanyaan tentang perkhidmatan lukisan komiknya itu.
“Boleh katakan sekitar 80 peratus pertanyaan daripada pelanggan di media sosial saya setakat ini adalah dari Singapura.
“Saya berasal dari Johor, tetapi saya sanggup ke mana-mana jika ada pelanggan yang mahukan lukisan komik pada kereta mereka,” kongsi Cik Nabihah yang juga mengusahakan perniagaan roti Golden Pillow, roti gebu dan besar dan karinya dibalut dalam roti.
Kos untuk perkhidmatan ini bermula dari $1,200, berdasarkan saiz kereta. Harga ini juga termasuk kos perjalanan ke Singapura. Jika perkhidmatannya dilakukan di Malaysia, harga akan ditetapkan dalam ringgit Malaysia, harga bermula dari RM3300 ($999).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg