Kagum dengan pergerakan tangkas dan bertenaga persembahan tarian singa semasa sambutan Tahun Baru Cina pada 2024, kanak-kanak dari Malaysia, Raid Eusoff, mula tertarik dengan seni tarian itu.
Waktu itu dia baru berusia dua tahun.
Sejak itu, dia sering menonton video tarian singa di YouTube lalu cuba menghafal pergerakan dan bahkan meniru langkah-langkah tarian seni tradisional itu di rumah.
Minat si cilik yang berusia tiga tahun itu terhadap tarian singa semakin mendalam apabila mak ciknya menghadiahkan kepala singa tarian itu kepadanya, kongsi ibu Raid, Cik Noor Faeza Roslan, 30 tahun, apabila dihubungi Berita Harian (BH).
Dengan sokongan penuh daripada bapanya, Encik Muhammad Rafiqi Ramli, 32 tahun, mereka mula berlatih bersama, meniru gerakan rancak tarian itu dengan penuh semangat.
Bapanya bukan sahaja menjadi pemerhati, malah sama-sama belajar dan menari bersama Raid, menjadikan aktiviti ini sebagai masa berkualiti antara bapa dan anak.
Untuk menyokong minat Raid dalam tarian singa, beliau, juga membawanya ke beberapa pusat beli-belah untuk menonton pertunjukan tarian singa secara langsung pada sambutan Tahun Baru Cina ini.
“Anak gembira, kami sebagai ibu bapa tentu lebih gembira,” ujar Cik Faeza kepada BH.
Semangat Raid yang luar biasa terhadap tarian singa juga telah menarik perhatian ramai netizen apabila sebuah video TikTok yang memaparkan aksi Raid dan bapanya melakukan tarian singa di rumah menjadi tular pada Januari.
Merakam video itu di ruang tamu, bapanya telah mengangkat Raid ke bahunya, meniru lagak ngeri penari tarian singa yang seringkali dilihatnya, mengikut rentak audio latar belakang daripada televisyen yang memainkan video tarian singa.
Dalam video itu, Raid telah menjadi kepala singa dan Encik Rafiqi memainkan bahagian belakang singa.
Dengan kesungguhan dan bakat yang ditunjukkan adik Raid, video itu mencuit hati ramai netizen dan menjadi viral.
Ia telah meraih lebih 600,000 tontonan dan telah menerima lebih 50,000 ‘likes’.
Netizen sangat kagum dengan telatah Raid serta dedikasi bapanya, dengan ramai yang memuji keluarga ini kerana menggalakkan minat anak mereka tanpa mengira budaya.
Antara komen oleh viji75 berkata: “Seronok tengok rakyat Malaysia hidup berbilang kaum seperti ini. Beri hormat kepada semua agama. 👍”
Cik Faeza juga telah memuatnaikkan satu lagi video di TikTok yang merakam Raid seorang melakukan tarian singa itu.
Rutin tarian singanya di ruang tamu itu juga kali ini melibatkan kerusi kecil dan kusyen-kusyen untuknya lompat dan menari.
Video yang menyerlahkan bakat Raid dalam tarian itu terutama dengan penggunaan kepala singa – mengayunkan kepala singa dalam gerakan yang lancar dan beralun, kepala singa tunduk dan bangkit dengan penuh gaya,
Seorang pengguna TikTok, Suja berkata: “Untuk usianya, saya berikan tepukan gemuruh! Adik sangat berbakat!”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg